Isu Proklamasi: Kedudukan Yang di-Pertuan Besar Tertakluk Undang-Undang Tubuh – MB

​SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan bahawa sebarang pandangan dan perbincangan berhubung Surat Cara Proklamasi yang didakwa mempunyai kesan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan harus dilihat secara objektif menerusi kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS 1959) serta prinsip Raja Berperlembagaan.

​Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bersidang pada Selasa sebulat suara memutuskan bahawa perkara tersebut tidak wajar diheret sebagai satu polemik politik atau pertikaian peribadi.

​Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai sebarang kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar kerana kedudukan serta proses mengenainya diperuntukkan secara khusus oleh undang-undang tubuh negeri.

​”Sesuatu Proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan. Persoalan yang perlu ditentukan ialah apakah sumber kuasa bagi Proklamasi tersebut, apakah syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh, dan sama ada kesemua syarat tersebut telah dipatuhi,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa.

​Beliau turut menambah bahawa penglibatan Menteri Besar dalam proses perlembagaan tidak bermaksud individu yang memegang jawatan tersebut mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar. Sebaliknya, setiap peranan yang ditetapkan oleh perlembagaan wajib dilaksanakan secara telus dalam batas serta kehendak UUTKNS 1959.

​Menyentuh mengenai erti kuasa dalam sistem pemerintahan, Ismail menegaskan bahawa isu ini sama sekali bukan mengenai siapa yang mempunyai pengaruh politik yang lebih besar, memandangkan Institusi Diraja, pihak Undang Yang Empat, Menteri Besar, dan Kerajaan Negeri masing-masing mempunyai kedudukan serta fungsi yang jelas di bawah undang-undang.

​Justeru, beliau menegaskan bahawa isu utama yang perlu diselesaikan adalah membabitkan kesahan serta kesan undang-undang di sebalik Proklamasi terbabit, yang mana penentuan mengenainya wajar diselesaikan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah termasuk penentuan kehakiman jika timbul sebarang pertikaian.

​”Menteri Besar menghormati sepenuhnya Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Apa yang perlu dipertahankan ialah bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan,” ujar beliau sambil menegaskan bahawa undang-undang tubuh mesti sentiasa menjadi asas utama pentadbiran negeri.

BBerkaitan

Latest articles