MA63: Pertemuan ‘Guru’, CM Sabah, Premier Sarawak Tiada Hasil Tuntas – Azuwan

​KUALA LUMPUR: Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) didakwa masih belum mencapai sebarang penyelesaian yang tuntas.

​Perwakilan UMNO Sabah, Azuwan Marjan berkata, isu tuntutan MA63 merupakan perkara keutamaan yang sentiasa dekat di hati rakyat negeri berkenaan dan perlu diselesaikan secara pasti demi memelihara untung nasib serta aspirasi mereka.

​Beliau menegaskan, keberadaannya di pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 adalah untuk membawa suara dan harapan seluruh masyarakat Sabah.

​”Hadirnya saya di sini sudah pasti membawa pandangan, suara dan aspirasi rakyat Sabah. Saya merupakan satu-satunya wakil daripada Sabah yang akan bercakap soal untung nasib rugi rakyat Sabah.

​”Hari ini saya tidak takut, saya tidak gentar walaupun pertama kali berdiri di atas pentas yang pada saya auranya cukup hebat dan luar biasa. Tetapi demi perjuangan untuk kita menyampaikan suara dan hasrat aspirasi orang-orang Sabah, UMNO Sabah kekal teguh dengan pendirian kita menuntut apa yang kita perlu tuntut,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.

​Mengulas lanjut mengenai MA63, Azuwan turut menyentuh sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang menandakan penyatuan tiga wilayah iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963.

​Namun, beliau meluahkan kekecewaan terhadap perkembangan perbincangan isu berkenaan yang didakwanya belum membuahkan hasil konkrit.

​”Kelmarin, ‘guru’ datang ke Sabah berbincang dengan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah dan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, tetapi saya difahamkan tidak ada apa-apa penyelesaian yang tuntas hasil daripada perbincangan tersebut.

​”Insya-Allah, kalau ditakdirkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerajui kepimpinan Kerajaan di Putrajaya yang diterajui oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Presiden, insya-Allah MA63 ini kita wajib selesaikan,” tegasnya.

​Dalam pada itu, Azuwan turut memuji ketabahan serta semangat lebih 1,000 perwakilan dan pemerhati dari Sabah yang sanggup hadir ke PAU kali ini biarpun berdepan cabaran kos dan penerbangan.

​”Kami datang ke perhimpunan agung pada kali ini banyak liku-liku cabaran, banyak halangan dan dugaan yang kami hadapi, terutamanya kenaikan harga tiket penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.

​”Harga tiket yang kami beli cukup luar biasa… satu kepala hampir RM1,000 ke RM1,500. Bayangkan 30 orang kita bawa perwakilan setiap bahagian.

“Namun alhamdulillah, demi perjuangan dan berkat keprihatinan serta sokongan Datuk Seri Presiden, UMNO Sabah alhamdulillah sampai ke Dewan Merdeka yang mulia ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles