KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa supaya tidak sama sekali melepaskan jawatan atau berundur daripada teraju kepimpinan parti, sebaliknya digesa mengambil langkah agresif untuk memastikan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal tanpa perlu menunggu hingga tamat penggal.
Wakil Veteran UMNO Malaysia, Datuk Adam Abdul Hamid menegaskan, kepimpinan parti tidak harus membiarkan kerajaan sedia ada diteruskan sehingga tamat penggal bagi mengelakkan UMNO terus mengalami kerugian politik.
”Daripada Veteran, ikhlas saya tekankan, (Zahid) jangan sekali-kali berundur.
”Kalau kita teruskan kerajaan ini hingga akhir penggal, teruk kita daripada UMNO ini. Oleh yang demikian, gunakan segala tekanan untuk memastikan kita ada pilihan raya pada masa yang terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Mengulas lanjut, Adam yang juga wakil UMNO Bahagian Kulai menjelaskan bahawa momentum kemenangan dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh kepimpinan parti.
Menurut beliau, pencapaian UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Johor dan Negeri Sembilan membuktikan bahawa sokongan pengundi terhadap parti itu masih kukuh dan berpotensi besar untuk dikembalikan secara menyeluruh.
”Di Johor, daripada 26 kerusi, pengamatan saya senang-senang kita boleh menang 20 kerusi ke depan ini.
”Melaka juga insya-Allah akan menjadi biru seperti mana yang diharapkan oleh Presiden. Kami wakil-wakil daripada Veteran berjanji, tiap-tiap negeri kita akan turun padang dan tolong bersama,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar strategi mengadakan pilihan raya negeri secara berkala dipraktikkan sebagai persediaan awal menuju PRU ke-16 (PRU16).
”Veteran mencadangkan kalau boleh pilihan raya negeri ini kita buat berkala. Empat bulan atau lima bulan sekali kita terus adakan dari satu negeri ke satu negeri yang lain, sampai kita mengadakan PRU16. Momentum ini kita kena betulkan.
”Pendekatannya tak lain tak bukan ialah BN-PN. Maknanya negeri-negeri yang belum lagi mengadakan pilihan raya negeri kena pergi ke arah itu,” tegas beliau.










