Jangan Lahir Bakat, Negara Lain Pula Yang Guna – Kelab UMNO Luar Negara

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak seharusnya bersusah payah melahirkan dan membiayai pembangunan bakat muda hanya untuk melihat kepakaran mereka akhirnya menyumbang kepada kemajuan negara lain.

Isu penghijrahan tenaga mahir atau brain drain perlu ditangani secara lebih serius dan menyeluruh, termasuk dengan mewujudkan ekosistem pekerjaan yang mampu menarik graduan serta tenaga profesional untuk kembali berkhidmat kepada tanah air.

Wakil Kelab UMNO Luar Negara, Muhammad Amir Ikram Mohd Fadil berkata, negara perlu memastikan bakat yang dibangunkan menerusi dana, pendidikan dan fasiliti tempatan tidak berakhir sebagai tenaga kerja kepada pasaran asing.

Katanya, tawaran gaji lebih tinggi, ekosistem pekerjaan yang lebih baik serta peluang kerjaya yang luas menjadi antara faktor mendorong ramai anak muda dan tenaga pakar Malaysia memilih untuk terus berada di luar negara.

“Isu ini cukup kritikal apabila kita melihat ramai anak muda, graduan dan tenaga pakar memilih untuk kekal di luar negara kerana tawaran gaji, ekosistem serta peluang kerjaya yang lebih menarik.

“Persoalannya, janganlah kita lahirkan bakat di dalam negara atau hantar mereka menuntut ilmu di luar negara, tetapi akhirnya negara lain yang memetik hasilnya dan menggunakan bakat kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Muhammad Amir Ikram, yang juga graduan Newcastle, United Kingdom (UK), berkata potensi anak Malaysia yang menuntut ilmu di luar negara termasuk di UK, Mesir, Jordan, Rusia dan Indonesia tidak seharusnya dipandang ringan.

Menurutnya, Kelab UMNO Luar Negara kini turut menjadi platform yang menghimpunkan golongan profesional muda selain mahasiswa, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk membina jaringan dengan rakyat Malaysia yang mempunyai kepakaran di luar negara.

“Apabila kita bercakap mengenai rakyat Malaysia di luar negara, kita bukan bercakap soal kelompok kecil, tetapi puluhan ribu anak Malaysia yang berpotensi pulang membawa ilmu, jaringan, pengalaman dan kepakaran untuk disumbangkan kembali kepada negara,” katanya.

Dalam perbahasannya, Muhammad Amir Ikram turut menggariskan tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian, iaitu pemerkasaan masa depan digital UMNO, pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan bakat tempatan, selain aspek keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.

Mengulas agenda digital UMNO, beliau menyambut baik inisiatif Penerangan UMNO Malaysia menerusi penubuhan Sekolah Digital UMNO, sambil menegaskan parti perlu menguasai platform media sosial bagi memastikan mesejnya terus sampai kepada generasi baharu.

Katanya, media sosial kini bukan lagi sekadar ruang hiburan, sebaliknya menjadi medan penting dalam membentuk persepsi dan mempengaruhi keputusan masyarakat.

“Hari ini media sosial bukan lagi sekadar tempat berkongsi hiburan, tetapi medan membentuk persepsi dan keputusan masyarakat.

“Sebagaimana pesan Ayahanda Presiden, jangan lawan emosi dengan emosi, sebaliknya lawanlah dengan fakta dan kebenaran,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles