KUALA LUMPUR: Kelewatan pengagihan baja subsidi selama tiga bulan mencetuskan kebimbangan serius terhadap kelangsungan hidup serta kualiti hasil padi melibatkan ribuan pesawah di Perlis dan Kedah.
Perwakilan Perlis, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, isu berkenaan sewajarnya diberi perhatian penuh dan ditangani secara mendalam kerana ia menyentuh kepentingan asas sektor pertanian negara.
Menurut beliau, kawasan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sahaja merangkumi hampir 10,000 pesawah di Perlis dan kira-kira 35,000 pesawah di Kedah.
”Isu baja di Perlis dan Kedah ini amat serius. Kelewatan pengagihan sehingga tiga bulan ini perkara yang harus ditangisi dan disemak semula, terutamanya bagaimana kaedah pengagihan tender tersebut berlaku.
”Sekarang ini yang membantu hanya NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) kerana syarikat yang dilantik tidak mampu menyelesaikan urusan ini.
”Ingat, Perlis dan Kedah di bawah MADA menyumbang kira-kira 38 peratus pengeluaran beras dalam negara kita. Walaupun Perlis itu kecil, sumbangannya amat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Fathul Bari menegaskan bahawa kelewatan bekalan baja berkenaan membawa implikasi buruk kepada dua aspek utama iaitu jumlah hasil dan kualiti padi.
”Kelewatan ini menyebabkan dua perkara utama berlaku. Pertama, hasil padi tentulah berkurangan. Kedua, kualiti padi akan menjadi masalah disebabkan kekurangan baja yang diperlukan mengikut jadual.
”Hal-hal seperti inilah yang sepatutnya diberi tumpuan dan tindakan segera kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan urusan serta kelangsungan hidup rakyat di peringkat akar umbi,” jelas beliau.
Justeru, beliau menyambut baik ketegasan serta komitmen kerajaan untuk menyiasat dan mengkaji semula kelemahan dalam rantaian bekalan serta pengagihan baja berkenaan demi memastikan nasib pesawah terus terbela.










