​KUALA LUMPUR: Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis kini berada dalam situasi ‘cacam-merba’ dan tidak jelas berikutan keahlian parti pemimpin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu yang kian bercelaru.
​Perwakilan Perlis, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, situasi politik di negeri Indera Kayangan itu kini menimbulkan tanda tanya mengenai parti manakah yang sebenarnya memimpin dan memerintah negeri berkenaan.
​Menurut beliau, kepincangan itu bermula apabila kepimpinan daripada Pas dijatuhkan oleh rakan gabungan mereka sendiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
​”Perlis sekarang dipimpin oleh parti mana, kami pun tak tahu dan tak ‘clear’ (jelas).
​”Selepas Pas dijatuhkan oleh Bersatu, kini ahli-ahli serta pimpinan Bersatu di Perlis pula melepaskan jawatan. Dalam tempoh dua hari ini, ahli-ahli Bersatu di Padang Besar, Kangar dan Arau pakat keluar parti dan menyertai parti lain (Parti Wawasan).
​”Bila ramai pakat menyertai parti lain, jadi negeri Perlis dipimpin oleh parti mana sekarang? Kita tak ‘clear’,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.
​Fathul Bari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menambah, kecelaruan tersebut semakin ketara apabila dalam kalangan lima ADUN Bersatu berkenaan, salah seorang daripadanya telah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan.
​Malah katanya, Pesuruhjaya Pas Perlis sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan tegas bahawa parti itu tidak menerima mana-mana ahli atau ADUN Bersatu yang melompat ke parti baharu berkenaan.
​”Kenyataan Pesuruhjaya Pas Perlis sangat ‘clear cut’ bahawa mereka tidak menerima tindakan melompat parti itu.
​”Namun bagi kami di peringkat Barisan Nasional (BN) dan UMNO Perlis di bawah kepimpinan Datuk Rosabil Ahmat, kami mengambil pendekatan untuk terus fokus mengukuhkan parti dan menggerakkan kerja-kerja parti di peringkat akar umbi,” jelasnya.
​Mengulas lanjut mengenai dinamika politik tanah air, Fathul Bari turut menekankan kepentingan memahami konsep ‘tahafum’ dan keanjalan dalam berpolitik seperti yang ditegaskan Presiden UMNO dalam ucapan dasarnya.
​Mengambil ibrah daripada kisah sirah Nabi Muhammad SAW semasa Perang Khandaq dan peristiwa Siffin, beliau mengingatkan bahawa diplomasi dan perundingan politik mestilah berjalan seiring dengan prinsip menjaga maruah serta survival parti.
​”Dalam dinamika politik, kita faham kena ada pengorbanan, tetapi pada masa yang sama, kita wajib menjaga maruah.
“Power itu tidak semestinya mulia, dan tanpa kuasa tidak semestinya hina. Yang penting ialah bagaimana kita mempertahankan prinsip dan maruah perjuangan,” ujarnya lagi.










