KUALA LUMPUR: UMNO dituntut agar sentiasa mempertahankan kelangsungan (survival) parti dan tidak terlalu bertolak kompromi sehingga mengorbankan kerusi tradisi di negeri-negeri kawasan Utara tanah air atas nama persefahaman atau pakatan politik (tahafum siyasi).
Perwakilan Perak, Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin menegaskan, walaupun penyatuan UMNO dan usaha kerjasama politik dialu-alukan, parti itu tidak wajar menerima bulat-bulat takrifan penyatuan Islam yang digagaskan parti lawan seperti PAS.
Menurut beliau, sekiranya UMNO bersetuju dengan formula PAS yang mahu kekal bertanding di semua kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ia bakal melumpuhkan peranan UMNO di beberapa negeri.
”Jika kita renung Muktamar PAS baru-baru ini, takrifan penyatuan Islam mengikut acuan mereka adalah mahu kekal bertanding di kerusi yang mereka menangi pada PRU15.
”Sekiranya takrifan penyatuan Islam ini dipersetujui oleh UMNO – yang mana mereka kekal di kerusi PRU15 dan terus bertanding di situ pada PRU16 – maka takkan UMNO tidak bertanding di Perlis? Takkan UMNO bertanding di Terengganu dan Kedah?
”Malah di Perak, jika perkara ini dipersetujui, Barisan Nasional (BN) atau UMNO Perak hanya akan bertanding di sembilan kerusi sahaja. Ini bermakna 13 UMNO Bahagian di Perak bolehlah tutup bilik gerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Muhamad Iqbal menjelaskan bahawa dalam apa jua kerangka tahafum siyasi atau kerjasama politik, pimpinan parti wajib meletakkan faktor ketahanan parti sebagai syarat utama.
”Kita mahu bersama dalam penyatuan Islam, tetapi dalam persefahaman politik ini jangan kita lupa ambil kira survival UMNO itu sendiri.
”Kita tidak mahu UMNO hanya menjadi parti wilayah yang hanya kuat di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, tetapi lemah serta tidak bermakna di kawasan Utara Semenanjung. Perkara ini perlu diperhalusi menerusi perbincangan yang tuntas,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa parti agar meletakkan ‘politik prestasi’ sebagai naratif utama, merujuk kepada pencapaian pentadbiran Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Jelasnya, kejayaan menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 telah membuktikan keupayaan UMNO memimpin dengan cemerlang.
”Dari segi pertumbuhan KDNK, Perak berada di kedudukan keempat tertinggi. Manakala kutipan hasil negeri pula meningkat hampir RM490 juta dalam tempoh empat tahun di bawah pimpinan Datuk Seri Saarani.
”Sangat merugikan sekiranya angka-angka positif yang dirasai oleh rakyat secara keseluruhan ini tidak dipertahankan. Perak membuktikan kita ada politik prestasi,” katanya.
Menjelang PRU16, beliau mengingatkan perwakilan supaya membina keupayaan parti berasaskan ‘bahasa masa depan’ dan bukannya sekadar bergantung kepada gelombang undi protes.
”UMNO perlu ada azam untuk menjadi sebuah pentadbiran dalam nantian (government-in-waiting). Kita mesti bercakap dalam dua bahasa – bahasa perjuangan untuk mempertahankan Islam, Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan Melayu, serta bahasa masa depan.
”Kita perlu merancang dengan rapi supaya pada PRU16 nanti, rakyat memilih Barisan Nasional kerana keyakinan terhadap UMNO dan BN, bukannya semata-mata kerana mereka tidak menyukai Pakatan Harapan (PH),” tambah beliau.










