​KUALA LUMPUR: Tindakan menjadikan Umno sekadar ‘stesen transit’ demi mengejar jawatan dan kepentingan peribadi perlu dijadikan iktibar serta ikatan pengajaran oleh seluruh ahli dan kepimpinan parti.
​Ketua Umno Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menegaskan, parti itu dibina atas dasar kesetiaan, pengorbanan serta disiplin perjuangan, dan bukannya sekadar landasan untuk mendapatkan kedudukan politik.
​Beliau memberi peringatan tersebut dengan menyentuh isu melibatkan Datuk Dr Puad Zarkashi dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai iktibar penting kepada maruah serta disiplin parti.
​”Ini bukan soal peribadi, ini adalah soal prinsip. Apabila parti telah menjadi alat untuk jawatan dan Umno dilihat boleh ditinggalkan apabila segala nikmat hilang, isu ini perlu dijadikan iktibar oleh parti.
​”Kerana yang tercala bukanlah individu, tetapi maruah dan disiplin parti. Maka Umno tidak boleh lagi diumpamakan seperti ‘stesen transit’ politik oleh individu sebegini,” katanya.
​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
​Mengulas lanjut, Mohd Isam menyeru agar kesetiaan kepada parti ditegakkan terutamanya ketika mendepani zaman sukar.
​”Setia ketika susah, bertahan ketika kalah dan tidak meninggalkan parti apabila tidak berkuasa. Kesetiaan inilah yang membezakan antara pejuang dan penumpang.
​”Apabila seseorang diberikan ruang dan kepercayaan atas platform Umno, maka kesetiaan kepada parti bukan lagi satu pilihan, tetapi kewajipan moral dan politik,” tambahnya lagi.
​Dalam pada itu, Mohd Isam turut menyentuh mengenai fleksibiliti politik tanah air yang memerlukan Umno bersedia mendepani landskap politik baharu atau ‘kepelikan politik’.
​Mengambil contoh keberanian Umno Negeri Sembilan yang sanggup berkorban kerusi tradisi demi jalinan persefahaman dan perpaduan, beliau menjelaskan keputusan berani itu terbukti membuahkan hasil yang membanggakan.
​”Di Negeri Sembilan, Umno sudi berkorban demi persefahaman dan penyatuan undi Melayu seperti di Gemas, Kelawang dan Serting. Kesemuanya adalah kerusi yang boleh dimenangi Umno, tetapi kita berani mengambil pendirian berkorban demi tujuan yang lebih utama.
​”Hasilnya, keputusan perkelahian politik di sana menyaksikan kita berjaya menerajui semula pentadbiran kerajaan di Negeri Sembilan, menumbangkan Anthony Loke di Chennah, menumbangkan bekas Menteri Besar di Lenggeng, serta merampas kembali kerusi-kerusi daripada DAP,” jelasnya.
​Justeru, beliau menggesa kepimpinan tertinggi parti agar terus mendengar suara dan pandangan akar umbi dalam menentukan calon Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
​”Hentikan amalan menjadikan seseorang itu calon atas dasar dia kawan kita atau mengikut selera tekak kita tanpa mendengar pandangan akar umbi.
​”Beri ruang dan kepercayaan kepada Presiden parti untuk menentukan hala tuju, namun kepimpinan juga jangan sekali-kali mengecilkan pandangan akar umbi,” tegas beliau.










