​
​KUALA LUMPUR: UMNO perlu memberi ruang dan kepercayaan kepada ‘anak murid’ yang kini disifatkan sudah mempunyai cukup ilmu di dada untuk memimpin dan memacu gerakan agenda masa depan bangsa.
​Perwakilan Johor, Mohd Farid Khalid berkata, fasa politik hari ini menuntut keikhlasan untuk menghentikan sebarang perbalahan atau gerakan ‘tikam dari belakang’ bagi memastikan parti kekal kukuh dan stabil.
​”Kumpulan macam ini, guru ke dia, anak murid ke dia… kita kata cukup-cukuplah guru. Anak murid sudah cukup ilmu di dada, benarkan anak murid memajukan pergerakan agenda bangsa.
​”Jangan ada cerita belakang dan lebih teruk jangan ada tikam belakang, apa lagi jangan main belakang,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
​Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong menegaskan, perincian lapan usul utama yang dibawakan menyokong penuh gagasan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengembalikan UMNO sebagai ‘papan induk’ politik Melayu.
​Mengulas lanjut, Mohd Farid menyeru agar seluruh kepimpinan dan ahli UMNO menyatukan minda serta pemikiran melalui pendekatan ‘Wahdatul Fikr’ demi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
​”Pengalaman mengajar kita, UMNO tidak mampu banyak kepala. Kepalanya mesti satu, nahodanya juga hanya satu. Timbalan dan para pembantu tugasnya wajiblah bantu-membantu.
​”Kalau ada tidak puas hati, nyatakan dalam mesyuarat kita, nyatakan dalam perhimpunan kita melalui pembahas negeri masing-masing,” ujarnya.
​Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli parti agar mengelakkan perbalahan berpanjangan yang hanya akan melemahkan kekuatan UMNO secara keseluruhan mengikut peringatan surah Al-Anfal.
​”Jauhi perbalahan sebab kata Allah nanti kita akan menjadi lemah dan hilang kekuatan.
“Berjemaahlah kita dengan penuh kasih sayang, percaya-mempercayai dan jauhkan sifat politik tidak sihat,” katanya lagi.










