KUALA LUMPUR: Hala tuju UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas ini bergantung kepada sejauh mana kepimpinan parti mampu memanfaatkan pengalaman lalu untuk melonjakkan semula kekuatan politik mereka.
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perjalanan politik parti tidak pernah berada pada satu garis lurus, sebaliknya melalui kitaran naik dan turun yang perlu dijadikan pengajaran untuk membina kebangkitan baharu.
Katanya, pengalaman UMNO berdepan kemerosotan selepas kehilangan kuasa pada 2018 membuktikan setiap fasa kejatuhan perlu dihadapi dengan muhasabah, bukannya terus dibelenggu kelemahan lalu.
“Masa kita naik, kita ditatang, dipuji dan disokong. Tapi masa kita turun lapan tahun sebelum ini, kita dicemuh, diserang dan difitnah.
“Semua itu disebut oleh presiden sebagai pengajaran dan memberi kita kekuatan.
“Sekarang terserah kepada pemimpin parti untuk menentukan putaran itu terus menghala ke atas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Kenyataan itu hadir selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya mengimbau perjalanan parti sepanjang lapan tahun selepas kehilangan kuasa, termasuk pelbagai ujian dan luka yang dihadapi kepimpinan serta akar umbi.
Ahmad Zahid menyifatkan tempoh berkenaan sebagai fasa yang penuh jatuh bangun, namun menegaskan pengalaman tersebut seharusnya menjadikan UMNO lebih matang dan kental untuk kembali mengukuhkan kedudukan politiknya.
Presiden UMNO itu turut memberi isyarat jelas bahawa parti tidak mahu sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan, sebaliknya mahu mendapatkan semula mandat untuk menerajui negara menerusi apa yang digambarkan sebagai ‘gelombang biru’.
Malah, Ahmad Zahid menggesa supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) disegerakan dengan alasan UMNO perlu diberi peluang untuk kembali mendapatkan mandat rakyat.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan penyatuan dalaman parti dan mengajak seluruh anggota UMNO melupakan kelemahan serta kekurangan lalu untuk bersama-sama membina kekuatan baharu.
Menurut Ahmad Zahid, pengalaman dan perbezaan pencapaian UMNO di beberapa negeri tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya dijadikan bahan muhasabah untuk memperbaiki kelemahan parti.
Hishammuddin berkata, cabaran utama kini berada di bahu kepimpinan untuk memastikan momentum kebangkitan yang diimpikan itu benar-benar diterjemahkan kepada kekuatan politik yang lebih kukuh.










