Isu Baja Kedah: Kerajaan Digesa Tukar Modus Operandi, Jangan Biarkan Pesawah Merana

KUALA LUMPUR: Kelewatan pengagihan bekalan baja di Kedah yang masih berlarutan sehingga kini menuntut perubahan drastik dalam mekanisme pengurusan industri padi negara agar nasib golongan pesawah tidak terus diabaikan.

Pengerusi Perhubungan Wawasan Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis menegaskan bahawa kemelut berkenaan tidak seharusnya dilihat secara berasingan, sebaliknya perlu diselesaikan secara rantaian menyeluruh demi menjamin masa depan pesawah.

Menurut beliau, setakat 18 Ogos lalu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memaklumkan hanya 137,560 beg atau 22 peratus daripada keseluruhan keperluan 616,015 beg baja yang berjaya dibekalkan.

Katanya, situasi itu menyebabkan baki 478,455 beg masih belum diterima bagi memenuhi keperluan kira-kira 38,000 pesawah yang mengusahakan kawasan tanaman seluas 78,117 hektar.

“Masalahnya bukan sekadar angka 22 peratus itu. Ketika bekalan masih belum mencukupi, kira-kira 52,000 hektar tanaman sudah berada pada umur antara 31 hingga 75 hari selepas tabur.

“Ini merupakan tempoh penting apabila tanaman memerlukan pembajaan bagi membantu pembentukan tangkai dan pengisian biji.

“Baja yang tiba selepas tempoh diperlukan mungkin masih boleh dicatat sebagai bekalan telah dihantar, tetapi kepada pesawah, hantar pun sudah menjadi tidak bermakna,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Razak menjelaskan, krisis kelewatan baja ini hadir ketika pesawah baru sahaja berdepan krisis kekurangan air pada awal musim ekoran paras takungan empangan yang rendah.

Jelas beliau, kombinasi isu air, peningkatan kos operasi, dan kelewatan baja menyebabkan pesawah berdepan tekanan berperingkat dalam satu musim penanaman yang sama.

“Padi tidak tahu masalah tender, kontrak atau pembekal. Apabila sampai masa memerlukan baja, ia perlukan baja. Kita tak boleh berdiri di tepi bendang dan beritahu pokok padi, ‘Hang tunggu sat, baja tengah mai.’

“Sebab itu sudah sampai masanya pengurusan industri padi melihat masalah pesawah sebagai satu rantaian, bukannya menyelesaikan isu secara berasingan,” tegasnya.

Bagi mengatasi isu berulang ini, beliau menggesa supaya Indeks Prestasi Utama (KPI) penilaian pembekal wajar mengukur ketepatan masa penghantaran mengikut fasa kritikal tanaman, dan bukannya sekadar jumlah beg yang dihantar.

Di samping itu, beliau menyarankan MADA mempertimbangkan pewujudan stok penampan baja serta mekanisme pembekal alternatif sebagai langkah siap sedia sekiranya pembekal utama menghadapi gangguan bekalan.

Penggunaan sistem pemantauan berasaskan data masa nyata juga perlu dipertingkatkan mengikut keluasan sawah dan umur tanaman supaya tindakan awal dapat diambil tanpa menunggu rungutan di media sosial.

Mengulas lanjut, Abdul Razak memperingatkan bahawa sebarang pelaburan, peruntukan ratusan juta ringgit, mahupun subsidi kerajaan tidak akan mencapai sasaran sekiranya tidak memberi kesan langsung kepada kebajikan pesawah.

“Dalam membincangkan keterjaminan makanan, kita selalu bercakap tentang berapa banyak beras negara perlu hasilkan, tetapi kadang-kadang kita terlupa kepada orang yang menghasilkan padi itu sendiri.

“Kerajaan boleh menyediakan pelbagai subsidi dan memperuntukkan ratusan juta ringgit untuk industri padi.

“Namun akhirnya, ukuran paling mudah tetap sama: selepas satu musim bekerja, berapa banyak hasil diperoleh dan berapa banyak duit yang tinggal dalam poket pesawah?” soalnya.

BBerkaitan

Latest articles