Kembalikan GST pada kadar munasabah, ‘Bossku buat betul dah’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: UMNO berazam untuk mengembalikan semula sistem Percukaian Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar dan peratusan yang lebih munasabah sekiranya diberi mandat, demi menyusun semula keutamaan ekonomi negara.

​Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah berkenaan penting bagi menggantikan rejim percukaian sedia ada dan mengelakkan pelaksanaan sistem ‘gabungan’ atau hibrid yang tidak pernah dilaksanakan oleh mana-mana negara di dunia.

​Mengimbas kembali pelaksanaan GST terdahulu, beliau menegaskan bahawa langkah yang diambil oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini adalah tepat dan terbukti memberi manfaat kepada struktur kewangan negara.

​”Tukar baliklah percukaian kepada sistem GST! Mana ada hibrid-hibrid… tak ada satu negara buat hibrid GST plus SST, ST, ST, ST.

​”Bossku dah buat betul dah! GST Bossku buat dah betul dah! Insya-Allah azam kita, kita kembalikan GST dalam sistem percukaian di negara ini,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.

​Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pelaksanaan semula GST yang diselaraskan itu bertujuan untuk memastikan jaminan sosial rakyat dapat diperkasakan, selain memudahkan urusan perniagaan serta membangunkan ekonomi wilayah berasaskan kekuatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

​Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen UMNO untuk terus memperbaharui perjanjian dan memperjuangkan kebajikan para penjawat awam di seluruh negara.

​Tegasnya, tumpuan khas akan diberikan kepada sektor perkhidmatan penting seperti pendidikan dan kesihatan yang menjadi teras kepada kesejahteraan masyarakat.

​”Kita mahu melindungi kebajikan guru… bukan ‘guru’, tapi guru-guru!

​”Kita juga mahu melindungi para doktor, mereka yang bekerja dalam sektor kesihatan, jururawat… semua dalam sektor kesihatan kita akan pastikan kebajikan mereka juga turut diberikan keutamaan,” ujarnya.

​Tambah beliau lagi, lapan ikhtiar yang digariskan parti itu berhasrat untuk mengarusperdanakan muamalat Islam serta memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera (Putra 35) dilaksanakan secara menyeluruh sebagai agenda seluruh kerajaan.

​

BBerkaitan

Latest articles