KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu parti-parti politik membina semula persefahaman menerusi pendekatan ‘Tafahum Siyasi’ bagi mengelakkan pertembungan yang hanya merugikan umat Melayu.
Menurutnya, gagasan itu merupakan kesinambungan idea ‘Grand Collaboration’ yang diketengahkan sebelum ini, namun tidak bermaksud menggabungkan atau meleburkan identiti parti politik.
“Kolaborasi Agung ini bukan merupakan penggabungan parti, sebaliknya ia adalah persefahaman bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan.
“Saya faham dan saya juga boleh membaca resah orang Melayu. Mereka tidak mahu lagi bertembung, mereka tidak mahu lagi kita berbalah sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ahmad Zahid turut mengingatkan parti politik supaya tidak mengulangi episod perpecahan yang pernah berlaku akibat campur tangan pihak ketiga.
“Sudah-sudahlah, kita lupakan episod lama kita. Mari kita menjalin semula penyatuan ini yang begitu didambakan oleh orang Melayu di seluruh negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang kerjasama politik tidak akan mengorbankan prinsip atau identiti UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Dengan siapa pun UMNO bekerjasama, Barisan Nasional bekerjasama… UMNO tetap UMNO, Barisan Nasional tetap Barisan Nasional,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggesa UMNO mendekati generasi muda dengan memahami cara fikir dan bahasa mereka bagi merapatkan jurang antara generasi.
Beliau turut mengumumkan siri ketiga Musyawarah Nasional yang dijadual berlangsung di Jasin, Melaka, sebagai platform menghimpunkan ulama, akademik, profesional, teknokrat, usahawan, masyarakat sivil dan golongan muda untuk membincangkan isu semasa secara ilmiah.










