‘Kembalilah, Rumah UMNO Sentiasa Terbuka’ – Zahid

KUALA LUMPUR: UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli dan mereka yang pernah meninggalkan parti untuk kembali bersama, namun penyatuan itu tidak seharusnya dijadikan ruang menghidupkan semula perpecahan lama.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gagasan ‘Rumah Bangsa’ perlu menjadi wadah menyatukan semula kekuatan parti sebelum UMNO mampu memperkukuh kedudukannya serta merangkul rakan-rakan politik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, mereka yang pernah kecewa, menjauhkan diri atau memilih haluan berbeza masih mempunyai tempat sekiranya benar-benar mahu kembali menyumbang kepada perjuangan parti.

“Rumah ini sentiasa terbuka luas. Bagi yang pernah membakar jambatan, mendirikan tembok perbezaan, atau membina pondok baharu untuk berteduh… tidak mengapa, kembalilah.

“Jambatan boleh kita sambungkan, tembok boleh kita runtuhkan dan pondok boleh kita tinggalkan. Rumah UMNO ini cukup besar untuk menempatkan kalian semula,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha menyatukan semula keluarga besar UMNO telah menerima sambutan positif, termasuk apabila beberapa tokoh yang pernah meninggalkan parti memilih untuk kembali.

Bagaimanapun, beliau memberi peringatan keras supaya kepulangan itu tidak disusuli usaha mengheret kembali sengketa atau permusuhan yang pernah memecah-belahkan parti.

“Kita berhimpun di rumah ini atas kasih kita kepada perjuangan. Cuma ingatan saya, janganlah kembali untuk menghidupkan semula api persengketaan.

“Cukup-cukuplah, sudah-sudahlah. Insya-Allah kita rangkol semuanya untuk berada dalam rumah yang sama,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru generasi muda UMNO supaya tidak sekadar menjadi pewaris parti, sebaliknya tampil membawa idea baharu bagi menentukan arah perjuangan pada masa depan.

Beliau berkata, kepimpinan parti bersedia membuka ruang yang lebih luas kepada golongan muda untuk mencorakkan wajah baharu UMNO selari dengan tuntutan zaman.

“Masuklah, bukalah jendelanya, susun semula ruangnya dan warnailah dinding perjuangan dengan idea serta impian generasi kalian.

“Ayahanda dan bonda di sini hanya mahu memastikan rumah ini kekal menjadi tempat berteduh generasi zaman berzaman,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles