DUNGUN: Misteri penemuan mayat seorang bayi lelaki yang dianggarkan berusia lapan bulan dalam sebuah lokar asrama terbongkar selepas seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun dipercayai melahirkan bayi itu di tandas sebuah institusi pendidikan di daerah ini, malam Rabu lalu.
Bayi berkenaan dipercayai dibalut menggunakan kain sebelum dimasukkan ke dalam sebuah beg dan disimpan di dalam lokar asrama.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, polis menerima laporan berkaitan penemuan mayat bayi itu kira-kira jam 10.48 malam tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pelajar terbabit dipercayai mengalami keguguran sebelum melahirkan bayi berkenaan ketika berada di tandas asrama.
“Selepas melahirkan bayi berkenaan, dia dipercayai membungkusnya dengan kain sebelum memasukkannya ke dalam beg dan menyimpannya di dalam lokar,” katanya ketika dihubungi.
Nik Ab Halim berkata, kejadian itu kemudian diketahui pihak pengurusan institusi selepas pengurusan sebuah masjid menghubungi mereka berhubung permintaan pelajar berkenaan untuk mendapatkan bantuan menguruskan pengebumian bayi tersebut.
Susulan maklumat itu, polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan serta mengumpul bukti berkaitan kejadian.
Beliau berkata, beberapa saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan, manakala pemeriksaan di tempat kejadian turut dijalankan dengan bantuan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
“Polis juga akan mengesan teman lelaki pelajar terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.
Mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.










