KUALA LUMPUR: UMNO menolak politik retorik yang menjanjikan segala masalah negara boleh diselesaikan dalam sekelip mata hanya selepas sesebuah parti memenangi pilihan raya.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat sudah semakin muak dengan janji politik sedemikian dan kini mahukan penyelesaian yang lebih nyata, konkrit serta mempunyai perancangan jangka panjang.
Katanya, UMNO mahu tampil sebagai parti yang menawarkan penyelesaian terhadap kemelut negara, bukannya sekadar menjual harapan untuk meraih sokongan ketika pilihan raya.
“Kita bukan parti yang menjanjikan ‘menang hari ini’ seolah-olah segala masalah akan selesai keesokan harinya.
“Rakyat ingin tahu siapakah yang mampu memberikan penyelesaian kepada semua kemelut ini. Insya-Allah, kita menawarkan diri untuk menyelesaikan semua ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, negara sudah melalui tempoh panjang yang dicemari ‘peperangan politik’ sehingga mengheret tumpuan daripada usaha menyelesaikan masalah rakyat.
Menurutnya, tempoh lapan tahun lalu menyaksikan politik berterusan yang akhirnya tidak membawa manfaat kepada rakyat.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid memberi amaran bahawa UMNO tidak akan tunduk kepada tekanan susulan siasatan atau pendakwaan yang disifatkannya sebagai bermotifkan politik terhadap pemimpin parti.
“Ada yang tanya siapa lagi yang mahu disiasat dan siapa lagi yang mahu dipersalahkan?
“Kalaulah kebetulan ada di kalangan di sini yang mahu dibaju ungukan (dibaju ungu), walaupun baju oren telah tidak ada, silakan!
“Lawan tetap lawan! Lawan sampai menang! Lawan sampai menang!”
Ucapan itu disambut sorakan para perwakilan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan ahli UMNO supaya tidak terperangkap dengan pendekatan politik lama ketika berdepan landskap politik Melayu yang semakin berubah.
Katanya, UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada nostalgia atau menggunakan satu formula yang sama untuk menghadapi semua negeri dan kawasan pilihan raya.
“Sebab itu kita tidak boleh guna satu formula untuk semua medan. Lain padang lain belalang. Lain Johor, lain Negeri Sembilan, lain pula Melakanya.
“Demografi berbeza, isu berbeza, calon berbeza, sentimen juga berbeza,” katanya.
Beliau berkata, keputusan di beberapa negeri membuktikan bahawa strategi yang disesuaikan dengan keadaan setempat serta persefahaman politik mampu memberikan hasil positif kepada parti.
Menurutnya, kemenangan UMNO di Johor telah menyuntik keyakinan menerusi slogan ‘Luaskan Kuasamu!’, manakala kejayaan di Negeri Sembilan membuktikan kekuatan persefahaman melalui semangat ‘Hobin Jang Hobin!’.
“Manakala Melaka, insya-Allah akan menjadi medan seterusnya yang menguji sejauh mana gelombang biru benar-benar dapat diterjemahkan,” katanya.










