​’Rakyat, Kawan Dan Lawan Sedang Perhati Gerakan Politik Umno’ – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Umno mengingatkan semua ahlinya bahawa persidangan dan hala tuju parti itu tidak hanya ditunggu oleh ahli akar umbi, malah sedang diperhati rapat oleh segenap lapisan rakyat termasuk kawan dan lawan.

​Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindak-tanduk serta gerakan politik yang bakal dilakarkan oleh parti berkenaan sentiasa menjadi ukuran penentu keyakinan pengundi terhadap parti itu.

​”Jangan kita menyangka hanya ahli Umno yang sedang menunggu apa yang akan lahir daripada perhimpunan agung kita.

​”Rakyat di luar sana sedang memerhati, kawan dan lawan sedang menilai. Mereka mahu mengetahui apakah gerakan politik yang bakal kita lakarkan dan apakah penyelesaian yang mahu Umno bawa untuk rakyat dan negara,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2026 (PAU 2026) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat.

​Ahmad Zahid menegaskan, biarpun wujud pelbagai pandangan negatif terhadap parti itu, pemerhatian luaran terhadap Umno kekal rapat dan mendalam.

​”Sebenci mana pun mereka kepada Umno, mereka tetap mengikuti dengan rapat persidangan agung kita pada hari ini,” katanya.

​Mengulas lanjut mengenai perjalanan parti sepanjang 80 tahun, beliau menyeru seluruh barisan kepimpinan dan perwakilan untuk menilai semula tahap keinsafan serta kesediaan parti dalam mendepani tuntutan zaman.

​”Soalannya, adakah kita sudah cukup insaf? Adakah kita sudah cukup faham tuntutan zaman? Adakah kita sudah cukup membuat persediaan?

​”Jangan hanya tepuk
dada tanya selera, tetapi tepuklah dada untuk mara bekerja demi mencapai kemenangan semula,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles