​KUALA LUMPUR: Pihak yang hanyut dengan kekuasaan sementara diselar kerana bersikap rakus menyalahgunakan sisa-sisa jawatan serta menganiaya rakan yang pernah mengangkat mereka ke puncak takhta.
​Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, tindakan membobrok itu menunjukkan betapa ada pihak yang hilang pertimbangan demi mempertahankan kedudukan masing-masing.
​”Apa yang berlaku mutakhir ini mengingatkan kita betapa bobroknya manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara sehingga hilang pertimbangan.
​”Mereka rakus menyalahgunakan sisa-sisa jawatan, menganiaya rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak takhta,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.
​Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi mengutip hadis Nabi SAW mengenai sikap golongan yang apabila bertengkar atau bermusuh, mereka akan bertindak melampaui batas.
​Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pihak berkenaan tersilap percaturan sekiranya menganggap tindakan menganiaya serta memalukan Umno akan melemahkan semangat parti itu.
​”Mereka sangkakan dengan menganiaya dan memalukan kita, maka kita akan lemah. Mereka silap. Kita ini pejuang Umno, kita ini pejuang Melayu.
​”Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah. Dicabar kita bangkit, ditekan kita melompat lebih tinggi, dipukul kita berdiri lebih keras melawan,” katanya tegas.
​Beliau menambah, dugaan dan ujian yang melanda ketika ini adalah sunnatullah dalam perjuangan yang akan melahirkan pejuang sejati.
​”Kalau layar sudah dikembang, jangan gentar ombak lautan. Kalau sabar sudah tak terpegang, lagi ditekan, lagi kuat kita lawan,” ujarnya lagi.










