​PAU 2026: Sokongan Pengundi Cina, India Melonjak Pada PRN Johor, Negeri Sembilan

​KUALA LUMPUR: Sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina dan India, terhadap Barisan Nasional (BN) mencatatkan peningkatan dan lonjakan mendadak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan 2026 berbanding pilihan raya sebelumnya.

​Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, trend positif itu membuktikan keyakinan rakyat pelbagai kaum semakin memulih dan kembali mengalir ke dalam lubuk perjuangan Umno dan BN.

​Menurut beliau, sokongan pengundi Cina di Johor melonjak sekali ganda daripada 9.5 peratus pada tahun 2022 kepada 20 peratus pada PRN 2026.

​”Di Negeri Sembilan, trend yang sama turut direkodkan apabila sokongan pengundi Cina meningkat daripada 8.7 peratus empat tahun lalu kepada 14 peratus tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.

​Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong serta rakan komponen MCA dan Friends of BN atas usaha gigih memimpin jentera parti.

​Dalam pada itu, beliau menyifatkan peningkatan sokongan pengundi India sebagai satu lonjakan yang amat ketara di kedua-dua negeri berkenaan.

​”Pada tahun 2022, undi kaum India yang diperoleh di Johor hanyalah 18.9 peratus, namun ia melonjak mendadak kepada 54.8 peratus pada tahun ini.

​”Di Negeri Sembilan pula, sebanyak 49.6 peratus pengundi India memilih BN pada PRN lalu, sekali gus menyaksikan BN memperoleh undi kaum India tertinggi berbanding parti-parti lain,” ujarnya.

​Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, kepimpinan tertinggi MIC, IPF, Makkal Sakti, KIMMA, Punjabi, PPP, seluruh Friends of BN dan jentera parti yang bertungkus-lumus melakar kejayaan berkenaan.

​Selain pengundi bukan Melayu, Asyraf Wajdi memberitahu sokongan pengundi Melayu turut menyaksikan peningkatan hampir mutlak.

​”Di Negeri Sembilan, sokongan pengundi Melayu meningkat daripada 45.8 peratus pada 2022 kepada 79 peratus pada 2026, manakala di Johor pula melonjak daripada 44.9 peratus kepada 82.4 peratus,” katanya.

​Tambah beliau, BN turut menyapu bersih kesemua 14 saluran kem tentera di Johor dengan pencapaian 82.1 peratus undi, manakala di Negeri Sembilan menerusi kerjasama bersama rakan Perikatan Nasional, undi tentera mencecah 92.47 peratus membabitkan kelapan-lapan saluran.

​Beliau turut memuji peranan pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita Umno yang disifatkan sebagai tulang belakang parti dalam memenangi saluran anak muda Melayu serta pusat-pusat daerah mengundi (PDM) Felda di kedua-dua negeri tersebut.

BBerkaitan

Latest articles