KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dicabar supaya tidak lagi mengharapkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), sebaliknya tampil bertanding di kesemua 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata sudah tiba masanya PH dan BN berdepan secara langsung dalam persaingan merebut mandat rakyat di negeri itu.
Beliau malah mengakui tidak sabar untuk melihat PH bertanding di seluruh 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Lupakan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional. Bertandinglah di semua 28 kerusi.
“Saya memang tidak sabar untuk berdepan dengan Pakatan Harapan di kesemua 28 kerusi di Melaka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Cabaran itu kemudian disambut dengan penuh semangat apabila beliau bertanyakan kesediaan perwakilan Pemuda UMNO untuk berdepan PH di semua kerusi berkenaan.
Laungan “Boleh!” bergema sebagai tanda keyakinan sayap parti itu untuk menghadapi saingan berkenaan.
Dalam pada itu, Akmal turut mahu Pemuda UMNO diberikan peranan lebih besar dalam proses merangka manifesto BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, penglibatan Pemuda UMNO tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut peluang untuk dicalonkan bertanding, sebaliknya lebih penting dalam menentukan hala tuju dan dasar parti.
“Kalau kita dipilih, kita dipilih. Kalau tidak dipilih sekalipun, kita tetap akan bekerja bagi memastikan parti kita menang.
“Namun, dalam membuat persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, kita mahu turut terbabit dalam merangka manifesto,” katanya.
Menurut beliau, pandangan dan isu yang dibawa perwakilan Pemuda UMNO perlu diterjemahkan ke dalam manifesto BN supaya dasar yang ditawarkan benar-benar mencerminkan keperluan rakyat.
Akmal turut memberi peringatan bahawa BN tidak boleh mengharapkan sokongan pengundi muda sekiranya suara sayap muda parti sendiri tidak diberikan ruang dalam proses menentukan dasar dan agenda pilihan raya.
Beliau menegaskan penglibatan Pemuda UMNO dalam pembentukan manifesto adalah soal memperkukuh perjuangan parti, bukannya semata-mata tuntutan untuk mendapatkan kerusi atau jawatan.










