Ismail Nafi Zahid Terlibat Usaha Jatuhkan Tuanku Muhriz

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terbabit dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Penafian itu dibuat susulan laporan The Straits Times bertarikh 8 September 2026 yang mendakwa wujud penglibatan Zahid dalam isu membabitkan kedudukan Tuanku Muhriz.

Ismail menegaskan dakwaan berkenaan tidak benar dan beliau tidak pernah melihat Presiden UMNO terbabit dalam sebarang usaha untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada kedudukan baginda.

“Merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh The Straits Times bertarikh 8 September 2026, saya ingin menafikan dakwaan penglibatan Zahid dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ismail menegaskan pendiriannya untuk terus memberikan sokongan kepada Zahid serta kepimpinan UMNO yang didakwanya sentiasa menjunjung dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.

“Saya sentiasa menyokong Presiden UMNO serta seluruh barisan kepimpinan parti yang sentiasa menjunjung, mempertahankan dan memelihara keluhuran institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya.

Ismail turut menyeru supaya sebarang kemelut berkaitan adat dan institusi pemerintahan di Negeri Sembilan dapat diselesaikan secara tertib, bijaksana dan berhemah.

Beliau berkata penyelesaian secara baik penting bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri serta keharmonian rakyat tidak terjejas.

“Ini demi menjamin kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Kontroversi itu tercetus selepas Ismail dan kerajaan negeri pada Ahad lalu menyatakan sokongan serta taat setia kepada Tuanku Muhriz.

Perkembangan berkenaan susulan kenyataan Sekretariat Undang Yang Empat yang dilaporkan menuntut pentadbiran negeri, khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri, mematuhi proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz yang didakwa ditandatangani Ismail di Istana Laguna Biru, Port Dickson, bulan lalu.

Bagaimanapun, Ismail sebelum ini menegaskan tumpuannya kini adalah melaksanakan amanah sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat dan masa depan Negeri Sembilan.

Beliau turut memberi gambaran bahawa pentadbiran negeri akan terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa, di sebalik isu yang sedang menjadi perhatian membabitkan institusi diraja dan adat Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles