KUALA LUMPUR: Tiga laporan polis dibuat berhubung dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia pada 2014.
Laporan berkenaan dibuat tiga pemimpin PKR Cabang Bandar Tun Razak, iaitu Naib Ketua Cabang, V Jonathan; Ketua Wanita, Mazlina Osman; dan Timbalan Ketua Pemuda, Amarul Hisham Jalil.
Ketiga-tiga mereka hadir ke Balai Polis Cheras untuk membuat laporan susulan kenyataan Hadi ketika menyampaikan ucapan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan semalam.
Jonathan berkata, laporan itu dibuat selepas kenyataan Hadi yang mendakwa beberapa pemimpin PAS pernah dijemput bertemu pihak Kedutaan AS ketika lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia pada 2014.
Menurutnya, dalam pertemuan tersebut, pihak AS didakwa menawarkan bantuan bagi menjatuhkan kerajaan Malaysia ketika itu.
“Antara yang dikatakan hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mustafa Ali bersama-sama duta AS ketika itu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Jonathan berkata, dakwaan berkenaan tidak wajar dipandang ringan kerana ia menyentuh soal kestabilan kerajaan serta sistem demokrasi berparlimen negara.
Beliau berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan dakwaan mengenai cubaan menggulingkan atau melemahkan kerajaan melalui kaedah yang bercanggah dengan Perlembagaan disiasat pihak berkuasa.
“Kami memandang serius perkara ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berdasarkan lunas undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Cheras, Mohd Rosdi Daud, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara berkenaan kira-kira jam 5 petang.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya masih dalam proses menyemak jumlah keseluruhan laporan yang diterima termasuk balai polis yang merekodkan laporan terbabit.
“Laporan tersebut bagaimanapun akan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju,” katanya.










