KUALA LUMPUR: “Amanah dan kedudukan boleh silih berganti, namun persahabatan dan rasa hormat akan terus kekal.”
Itu ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan permohonan maaf kepada mantan Presiden Indonesia, Joko Widodo berikutan tidak dapat menyantuni sahabat lamanya itu secara bersemuka di Pulau Pinang.
Anwar menjelaskan, beliau ralat kerana tidak dapat bertemu Joko Widodo, yang mesra dipanggil Pak Jokowi, disebabkan komitmen bersama komuniti agro pada majlis penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadualkan lebih awal.
Bagi mengubati rasa ralat itu, Anwar sempat menghubungi Pak Jokowi menerusi panggilan telefon pagi tadi untuk bertukar khabar serta menyampaikan solidariti buat rakyat Indonesia yang kini berdepan ujian bencana alam.
“Kami bertukar khabar dalam suasana penuh mesra, selain saya menzahirkan solidariti kepada saudara-saudara kita di Indonesia susulan bencana gunung berapi serta cabaran jerebu yang sedang dihadapi.
“Malaysia dan Indonesia bukan sekadar negara jiran, tetapi dua bangsa serumpun yang diikat sejarah, budaya dan persaudaraan yang akrab,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Pak Jokowi berada di Pulau Pinang bagi menghadiri persidangan Dialog Perdamaian Penang (Penang Peace Dialogue).
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan persahabatan antara kedua-dua belah pihak akan terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat serta keamanan dan kemakmuran rantau ini.










