KUALA LUMPUR: BERSATU dikatakan mula mempertimbangkan kemungkinan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Memetik BH, sumber parti itu berkata, idea membentuk kerjasama dengan BN bukan lagi sekadar percaturan di peringkat dalaman, sebaliknya sudah mula disentuh dalam perbincangan politik di beberapa negeri.
Pahang antara negeri yang dikatakan menunjukkan perkembangan awal ke arah itu, dengan wujud komunikasi antara wakil BERSATU dan pihak berkaitan dalam BN.
Menurut sumber berkenaan, usaha berkenaan dijangka diperluaskan ke peringkat pusat apabila beberapa pemimpin BERSATU cuba mendapatkan saluran untuk bertemu dan berbincang dengan kepemimpinan utama BN.
Langkah itu dipercayai didorong beberapa pertimbangan politik, termasuk kedudukan BERSATU yang memiliki jumlah kerusi lebih kecil berbanding PAS serta kepentingan UMNO untuk mengukuhkan semula pengaruhnya di beberapa negeri.
“Antara perkara yang dilihat ialah persamaan latar politik antara BERSATU dengan UMNO. Dalam masa sama, UMNO sudah melalui pengalaman bekerjasama dan berdepan PAS sebelum ini.
“BERSATU juga melihat kemungkinan UMNO mahu mengembalikan penguasaan di negeri seperti Kedah, Terengganu, Perak dan Pahang,” kata sumber itu.
Sumber sama berkata, perkembangan dalam PAS selepas Muktamar PAS Ke-72 di Kota Bharu turut menjadi antara faktor yang mendorong BERSATU menilai semula kedudukan dan pilihan kerjasama politiknya.
Resolusi yang dicapai PAS semalam dilihat berpotensi menyukarkan pembentukan kesepakatan lebih luas antara BN dan PAS, sekali gus memberi peluang kepada BERSATU untuk membuka saluran rundingan dengan BN.
Katanya, beberapa perbincangan secara tidak rasmi sudah berlaku di peringkat pusat, namun usaha mendapatkan komitmen kepemimpinan tertinggi BN masih berada pada peringkat awal.
“BERSATU mahu memastikan semua kemungkinan diteroka. Sebab itu pendekatan kepada pemimpin utama BN sedang diusahakan,” katanya.
Pada masa sama, BERSATU dikatakan tidak menetapkan sebarang sekatan terhadap kemungkinan bekerjasama dengan pihak lain, asalkan prinsip asas dan hala tuju perjuangan parti tidak terjejas.
Bagaimanapun, sumber itu menjelaskan kedudukan BERSATU ketika ini masih kekal dalam PN bagi menghadapi PRU16.
Persoalan mengenai penggunaan logo pula belum dimuktamadkan dan hanya akan diperjelaskan selepas status PN diputuskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“BERSATU masih dalam PN dan rancangan bertanding melalui gabungan itu masih kekal. Cuma soal logo belum ada keputusan,” katanya.
Sementara itu, perkembangan hubungan PAS dan BERSATU turut dilihat semakin rumit apabila PAS dikatakan sudah mula mengemukakan tuntutan terhadap beberapa kawasan yang kini dimenangi atau dikuasai BERSATU.
Antara kawasan yang disebut ialah Parlimen Gombak, Jeli dan Gua Musang, selain DUN Tualang Sekah di Perak.
PAS juga sebelum ini dikatakan mahu mengambil alih kepemimpinan PN di beberapa negeri yang kini diterajui BERSATU, termasuk Selangor.
Perkembangan itu menambah tanda tanya mengenai bentuk kerjasama yang bakal terbentuk dalam blok pembangkang menjelang PRU16, terutama jika tuntutan kerusi dan isu kepemimpinan negeri terus menjadi pertikaian antara PAS dan BERSATU.










