RCI TH: Reman Jamil Khir Disambung Lagi Dua Hari

PUTRAJAYA: Tempoh reman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom disambung selama dua hari lagi bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu yang dibangkitkan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Perintah sambung reman bermula esok hingga Selasa itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Sebelum ini, Jamil Khir telah direman selama lima hari sehingga hari ini selepas ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang melibatkan kesalahan meminta atau menerima suapan sebagai dorongan atau ganjaran dalam sesuatu urusan.

Jamil Khir ditahan kira-kira jam 4.30 petang pada 1 September lalu selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Siasatan tertumpu kepada dakwaan berkaitan pajakan hotel di Arab Saudi serta beberapa perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI mengenai Lembaga Tabung Haji.

Terdahulu, ketika prosiding reman awal, peguamnya, Datuk Hamidi Mohd Noh memaklumkan anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak penyiasat sejak 2018.

Menurut beliau, Jamil Khir tidak pernah gagal hadir atau memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan berlangsung.

Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu memperincikan pelbagai kelemahan dalam aspek pengurusan dan operasi dana haji itu bagi tempoh antara 2014 hingga 2020.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, individu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

BBerkaitan

Latest articles