KUALA LUMPUR: Kelangsungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam landskap politik masa kini berdepan persoalan berikutan perubahan ketara yang mula ditampilkan oleh Pas dalam mengangkat kelompok teknokrat serta pemimpin berwibawa.
Penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Lau Zhi Wei berkata, kehadiran Bersatu pada asalnya amat diperlukan kerana Pas berdepan kekangan imej untuk menerajui jawatan tertinggi negara sebagai Perdana Menteri.
”Pas tidak boleh mengambil kepimpinan tertinggi sebagai calon Perdana Menteri atas faktor imej. Anda tidak boleh menjangkakan pimpinan Pas menjadi calon Perdana Menteri.
”Justeru, anda perlukan seseorang, iaitu Bersatu yang mempunyai teknokrat, bekas menteri, pemimpin berpengalaman dan pelbagai elemen yang tidak dimiliki Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu dalam Naratif PN-BN” yang berlangsung di sini, hari ini.
Forum berprofil tinggi itu turut membariskan Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Riche Huan sebagai panel jemputan.
Mengulas lanjut, Lau menegaskan bahawa segala bentuk kerjasama politik terbina atas asas nilai tawaran (value proposition) yang jelas kepada rakyat.
Namun, beliau membangkitkan persoalan mengenai kerelevanan parti itu apabila Pas sendiri mula menunjukkan transformasi dalam kepimpinannya.
”Namun, persoalannya hari ini, apabila Pas sendiri mula menampilkan perubahan dan mengangkat kelompok teknokrat atau pemimpin berwibawa, apakah nilai sebenar yang masih dibawa oleh Bersatu?” soal beliau.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai dinamika parti alternatif seperti Wawasan Negara, Lau mengutarakan pandangan berhubung keupayaan tawaran parti-parti dalam landskap politik majmuk.
”Dalam senario terburuk, kita kini mempunyai Wawasan Negara. Apa sahaja perkara yang boleh dibekalkan oleh Bersatu, Wawasan Negara juga boleh menyediakannya dengan mudah. Jadi, apakah nilainya?
”Sebagai contoh, apa yang Wawasan Negara boleh tawarkan kepada komuniti Cina? Kerana kita sudah bercakap mengenai parti Cina bersama MCA, kita bercakap tentang pelbagai etnik, kita ada Gerakan, kita ada DAP dan sebagainya. Jadi, apakah nilai sebenar yang ditawarkan?” ujar beliau.
Lau turut memberi amaran berhubung risiko ketandusan naratif yang boleh memaksa sesebuah entiti politik terdorong mengamalkan ‘politik outbidding’ semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.
”Dulu, ada parti yang mengetengahkan naratif seperti Islam progresif sebagai sesuatu untuk dijual kepada masyarakat.
“Sama ada rakyat terima atau tidak, itu cerita lain, tetapi sekurang-kurangnya mereka ada sesuatu untuk disajikan.
”Hari ini, apabila ketandusan naratif seumpama itu, jalan terakhir yang sering dilihat adalah politik outbidding,” tambahnya lagi.










