Biar digelar ‘walaun’, jangan ‘malaun’ kata Ketua Dewan Ulama Pas

​KOTA BHARU: Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan pentingnya kesatuan hati dan ketaatan tanpa berbelah bahagi kepada kepimpinan parti sebagai kunci utama untuk persediaan menuju ke Putrajaya.

​Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, kesediaan parti untuk mendepani cabaran dan mengurus kemenangan bergantung kepada sejauh mana ahli memelihara nilai wala’ (kepatuhan).

​”Apabila keputusan sudah dibuat, ketaatan dan wala’ merupakan suatu yang sangat penting dalam jemaah.

​”Marilah pada hari yang mulia ini kita memberikan kepatuhan dan wala’ yang tertinggi kepada kepimpinan untuk menuju ke jalan yang dirintis bagi mencapai kejayaan.

“Biarlah kita digelar dengan ‘walaun’… ‘walaun’ tak jadi masalah, jangan ‘malaun’,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini hari ini.

​Mengulas mengenai hala tuju parti, Ahmad menjelaskan bahawa 70 peratus ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan perbahasan muktamar kali ini lebih berfokus kepada mesej di luar jemaah.

​Menurutnya, isyarat itu menandakan tiga perkara utama iaitu organisasi parti berada dalam keadaan tersusun rapat, kesediaan PAS menjadi penyelamat negara, serta kesiapsiagaan penuh menuju ke Putrajaya.

​”Kaji balik sejarah perang bala tentera di Medan Badar. Mengingati kisah sahabat Nabi SAW, Miqdad bin Amru yang menyatakan ketaatan penuh: Berjalanlah wahai Rasul sebagaimana yang ditunjukkan Allah, kami bersama kamu.

​”Inilah isyarat daripada hasil musyawarah dan kesatuan hati iaitu ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Andainya ini dipelihara, tajuk kemenangan dan memerintah negara bukan lagi suatu yang mustahil,” tegas beliau.

​Di samping itu, beliau turut mengingatkan seluruh perwakilan agar sentiasa bersyukur atas nikmat perpaduan dan persaudaraan yang dikecapi hari ini selepas melalui fasa pertembungan politik sesama parti Melayu-Islam sebelum ini.

​Beliau memetik kalam Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Zulkifli Ismail sebagai peringatan bersama: “Kalamu al-Imam, Imam al-Kalam” (Kata-kata pemimpin adalah pemimpin kepada kata-kata).

BBerkaitan

Latest articles