PRU16: Dewan Muslimat PAS Sasar Kuasai Pengundi Baharu, Generasi Muda

KOTA BHARU: Dewan Muslimat PAS Pusat menegaskan komitmen penuh untuk menterjemahkan hala tuju parti ke dalam pelan tindakan berimpak tinggi, termasuk menguasai segmen pengundi baharu dan muda sebagai persediaan mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

​Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh berkata, persediaan menghadapi pilihan raya berkenaan menuntut parti menguasai pengundi kali pertama, pengundi muda serta golongan wanita menerusi pendekatan dakwah yang kreatif dan meyakinkan.

​”Naratif perjuangan Islam mesti disampaikan secara pantas, tepat, kreatif dan meyakinkan mengikut bahasa serta realiti jiwa anak muda dan wanita.

​”Kita semua perlu menyantuni mahasiswa, pekerja dan generasi muda menerusi pendekatan dakwah serta kebajikan berimpak tinggi bagi membantu membentuk mereka yang berupaya menyatukan ilmu, iman dan akhlak,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di sini pada Ahad.

​Mengulas lanjut, Nuridah membentangkan tiga fokus utama bagi menggerakkan peranan wanita parti itu di seluruh negara, merangkumi penguasaan pengundi muda, pengukuhan organisasi dan tarbiyah, serta memaksimalkan peranan muslimat dalam pentadbiran.

​Menurut beliau, pengukuhan organisasi dan tarbiyah merupakan tunjang kekuatan jemaah bagi menampung gelombang kemasukan ahli-ahli baharu.

​”Kemenangan dan kejayaan tidak akan datang dengan saf yang kucar-kacir.

“Seperti mana kalam Sayidina Ali, kebenaran yang tidak diorganisasi dengan baik akan ditewaskan oleh kebatilan yang diorganisasi dengan rapi,” tegasnya.

​Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa penglibatan wanita tidak sepatutnya dihadkan kepada tugasan di lapangan semata-mata, sebaliknya perlu diberi ruang sebagai rakan kongsi strategik dalam pentadbiran dan penggubalan strategi.

​”Muslimat bukan sekadar jentera perayu undi di lapangan, tetapi merupakan rakan kongsi strategik dalam membina masyarakat dan mentadbir urus kemenangan,” katanya.

​Menyentuh mengenai isu penubuhan Dewan Muslimat Muda yang ditolak dalam muktamar dewan itu, Nuridah menjelaskan bahawa perkara berkenaan tidak harus dilihat sebagai satu kekalahan, sebaliknya sebahagian daripada proses syura.

​Jelas beliau, pihak dewan tetap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan PAS Pusat untuk meneliti sebarang ruang bagi memperkukuh pembangunan kepimpinan wanita muda, sama ada menerusi pemerkasaan entiti sedia ada seperti Armada Mutiara (Amirah) atau mekanisme lain.

​”Yang paling penting, kita tidak melihat isu ini sebagai kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak.

“Sebaliknya ia adalah proses syura dalam mencari pendekatan terbaik demi maslahah jemaah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles