KOTA BHARU: Pemuda Pas Pulau Pinang menggesa agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum akan datang dibuat berasaskan kekuatan sebenar parti komponen serta demografi kawasan, dan bukannya sekadar aspirasi politik semata-mata.
Pembahas Pulau Pinang, Muhammad Zikri Mohamad Zaki berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan strategi gabungan dapat dimaksimumkan demi meraih kemenangan, selain mengelak pertindihan kerusi yang berpotensi merugikan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, setiap parti dalam komponen PN seperti Pas, Gerakan dan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) mempunyai peranan khas untuk mengukuhkan sokongan pengundi mengikut latar belakang kaum di sesuatu kawasan.
”Jangan kita bertelagah sesama sendiri untuk mendapatkan kerusi yang sama, sedangkan matlamat kita adalah untuk menambah jumlah kerusi yang dimenangi oleh Perikatan Nasional.
”Pas dan Wawasan
perkukuhkan undi Melayu, Gerakan perkukuhkan undi Cina, manakala DHPP perkukuhkan undi India.
“Inilah nilai tambah yang mereka boleh bawa masuk kepada gabungan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucaptama Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Zikri menegaskan agar parti komponen tidak meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu jika tidak mempunyai jentera atau akar umbi yang kukuh.
Beliau turut mengambil contoh situasi yang berlaku di DUN Bayan Lepas pada pilihan raya lalu agar dijadikan iktibar supaya pisang tidak berbuah dua kali.
”Kita tak mahu pisang berbuah dua kali seperti di kerusi Bayan Lepas.
“Kerusi yang majoriti Melayu kena beri keutamaan kepada parti yang mempunyai jentera, akar umbi dan kemampuan untuk menang.
”Jangan kacau kawasan yang sudah mempunyai kekuatan dan jentera yang terbukti, sebaliknya berilah ruang kepada setiap parti untuk mengembangkan pengaruh masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Zikri turut mengingatkan seluruh jentera Pemuda Pas agar tidak mengabaikan pengukuhan tarbiyah rohani dalam kesibukan mempersiapkan jentera pilihan raya.
Beliau menekankan bahawa kekuatan organisasi dan strategi pertandingan mestilah beriringan dengan hubungan yang erat bersama Allah SWT melalui amalan harian, bacaan al-Quran, usrah dan penggunaan aplikasi MyMutabaah.










