KOTA BHARU: Pemuda PAS Negeri Selangor menyatakan kesediaan penuh untuk menggembleng tenaga bagi memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Selangor, Mohd Zulwafi Bahaudin berkata, negeri ini merupakan nadi ekonomi negara yang menyumbang sekitar 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia, sekali gus menjadikan usaha menguasai negeri itu sebagai misi penting untuk membebaskan “kota ekonomi” negara.
”Hari ini negara berada di persimpangan jalan melihat agenda yang coba merombak pasak bumi watan atas nama kemajuan.
“Penyatuan ini bukan semata-mata dengan UMNO, tetapi turut melibatkan rakan komponen lain,” katanya ketika membahaskan Ucaptama Ketua Pemuda PAS Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai strategi di Selangor, Mohd Zulwafi menegaskan bahawa agenda penyatuan tersebut perlu digerakkan menerusi dua fasa tindakan agresif.
Jelasnya, fasa pertama melibatkan penyatuan undi Melayu bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru di kawasan majoriti pengundi Melayu, manakala fasa kedua menumpukan kepada mobilisasi badan bukan kerajaan (NGO) serta sektor awam.
”Kita perlu beri nafas baharu kepada perjuangan ini dengan membawa masyarakat keluar daripada kepartian semata-mata, sebaliknya menjadikan koalisi ini sebagai gerakan rakyat untuk membela isu setempat seperti isu tanah luar bandar dan pencemaran ladang babi,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memperkenal Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi dan Human Development (Ihsan 2030) sebagai tawaran utama PAS Selangor kepada rakyat negeri berkenaan menjelang PRU16.
Katanya, pelan berkenaan dirangka seiring dengan wawasan induk PAS seperti Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051) serta pelan pembangunan di negeri pentadbiran PAS yang lain seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah.
”PAS bukan sekadar mahu menukar pimpinan negeri, tetapi mahu membawa perbaikan (islah) dan penstrukturan semula sistem pentadbiran agar kekayaan negeri Selangor dapat diagihkan secara adil dan saksama kepada seluruh rakyat,” katanya.










