Tempahan ‘Last Minute’ Punca Silap Cetak Bintang, Syarikat Melaka Akui Khilaf

​KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat percetakan yang berpangkalan di Melaka memohon maaf secara terbuka kepada Pejabat Menteri Besar Kedah berikutan kesilapan teknikal melibatkan cetakan lambang bintang yang tidak mengikut spesifikasi pada pakaian.

​Syarikat NE Creative Ventures menerusi surat penjelasan rasmi bertarikh 29 Ogos memaklumkan bahawa pihak mereka mengambil maklum dan memandang serius ulasan orang ramai berhubung isu kekurangan bilangan bucu bintang berkenaan.

​Menurut pengurusan syarikat itu, reka bentuk terbabit dicetak berdasarkan bahan rujukan fail (artwork) yang diterima serta proses penjejakan (tracing) teknikal semasa fasa pengeluaran.

​”Kami mengakui berlaku kekhilafan di pihak kami apabila terpaksa menerima tempahan tambahan pada saat akhir bagi memenuhi tarikh akhir yang sangat singkat.

​”Kekangan masa ini akhirnya mengakibatkan proses semakan terperinci kurang teliti dijalankan,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

​Sehubungan itu, pihak syarikat mengambil tanggungjawab penuh atas kecacatan teknikal berkenaan dan bersedia menyediakan pakaian gantian baharu yang mematuhi spesifikasi rasmi yang tepat dengan segera.

​Mengulas lanjut, syarikat berkenaan menjadikan insiden itu sebagai pengajaran untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) perniagaan mereka bermula serta-merta.

​”Syarikat akan mewajibkan pelanggan menandatangani borang pengesahan draf akhir sebelum sebarang proses cetakan dijalankan, terutamanya yang melibatkan lambang rasmi, jata negeri atau logo korporat.

​”Langkah ini diambil bagi melindungi syarikat daripada sebarang liabiliti sekiranya berlaku kesilapan berulang pada masa akan datang,” katanya.

​Pihak syarikat turut menzahirkan kekesalan atas segala kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama serta toleransi berterusan daripada Pejabat Menteri Besar Kedah.

BBerkaitan

Latest articles