KUALA LUMPUR: Seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi selepas kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda Daerah Rasuwa, Nepal, Rabu lalu.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam perkembangan terbaharu memaklumkan dua daripada individu yang sebelum ini dilaporkan hilang hubungan sudah berjaya dikesan, manakala status baki kes masih dalam proses pengesahan.
Menurut kementerian itu, Kedutaan Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan Pasukan Tindakan Kecemasan Kementerian Luar Nepal, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, dengan pihak berkuasa Nepal turut meningkatkan pemantauan terhadap kemungkinan berlaku kepala air dari Wilayah Autonomi Tibet, China.
Sehingga jam 5 petang waktu Nepal pada 28 Ogos 2026, seramai 771 individu dilaporkan telah diselamatkan, termasuk 116 warga asing.
Bagaimanapun, berdasarkan senarai rasmi yang diterima setakat ini, tiada rakyat Malaysia dikenal pasti antara warga asing yang berjaya diselamatkan.
Dalam pada itu, Wisma Putra turut memperluas usaha bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkandas di China akibat gangguan perjalanan susulan bencana di Nepal.
Seramai 72 rakyat Malaysia yang berada di Darchen, China, telah disahkan selamat dan berada dalam keadaan baik.
Kedutaan Malaysia di Beijing kini berhubung dengan kumpulan berkenaan, selain memastikan ahli keluarga mereka mendapat maklumat mengenai keadaan semasa.
Bantuan konsular turut disediakan, termasuk sokongan berkaitan urusan perjalanan bagi membantu mereka meninggalkan Wilayah Autonomi Tibet.
Pada masa sama, kementerian menerima laporan daripada pihak berkuasa China dan ahli keluarga mengenai 36 rakyat Malaysia yang dipercayai berada di kawasan terjejas dan tidak dapat dihubungi berikutan gangguan rangkaian telekomunikasi.
Wisma Putra kini bekerjasama dengan pihak berkuasa China serta keluarga terbabit bagi mengesan dan mengesahkan keadaan mereka.
Maklumat mengenai 36 individu berkenaan juga sedang disemak silang dengan senarai rakyat Malaysia yang berada di Nepal bagi memastikan tiada pertindihan dalam laporan kehilangan hubungan.
Bagi memastikan usaha pengesanan dan penyelarasan bantuan berjalan lancar, Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya telah beroperasi selama 24 jam sejak Khamis.
Orang ramai, khususnya rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas serta ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar melalui:
Telefon: +603 8887 4570
E-mel: [email protected]
Wisma Putra pada masa sama mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Kementerian menegaskan sebarang perkembangan mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia terbabit hanya akan disampaikan berdasarkan maklumat sahih daripada saluran rasmi.
Pihak kementerian turut memaklumkan bahawa perkembangan situasi di Nepal dan kawasan sekitarnya akan terus dipantau dari semasa ke semasa.










