KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia digerakkan bagi membantu operasi kemanusiaan di Nepal yang dilanda banjir besar, sekiranya mendapat arahan daripada kerajaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ATM mempunyai kepakaran serta keupayaan yang boleh dimanfaatkan dalam misi bantuan dan kemanusiaan di negara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, sebarang pembabitan ATM bergantung kepada keputusan kerajaan.
“Antara perkara yang boleh disumbangkan oleh pihak ATM adalah dalam soal misi-misi kemanusiaan.
“Jika ada keputusan daripada pihak kerajaan dan jika ia membabitkan ATM, kita bersedia untuk menyumbang kepakaran dan juga keupayaan kita,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang di Dataran Wisma Pertahanan, hari ini.
Banjir besar melanda daerah Rasuwa di kawasan pergunungan Nepal susulan limpahan Sungai Bhote Koshi, menyebabkan kerosakan terhadap kediaman dan infrastruktur.
Situasi itu turut mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap tinggi kepada penduduk di kawasan hilir sungai.
Dalam perkembangan berkaitan, Wisma Putra memaklumkan 17 rakyat Malaysia antara ratusan warga asing yang dilaporkan hilang selepas banjir kilat berkenaan.
Urusan perjalanan kumpulan rakyat Malaysia terbabit dikendalikan agensi pelancongan Fishtail Tours and Travels.
Sementara itu, Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Mohd Firdaus Azman, berkata kira-kira 50 rakyat Malaysia di Nepal masih belum dapat dihubungi keluarga setakat semalam.
Beliau berkata usaha mendapatkan mereka berdepan kesukaran susulan akses jalan raya ke kawasan terjejas yang terputus akibat banjir Sungai Bhote Koshi.
Kerajaan Nepal bagaimanapun sudah mengerahkan helikopter bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terjejas.










