Ismail Sabri Tiba Di Mahkamah Disambut Ratusan Penyokong

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 8.36 pagi tadi bagi menghadapi pertuduhan berkaitan pengisytiharan harta.

Ketibaan Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu disambut laungan kata-kata semangat daripada ratusan penyokong yang mula memenuhi pekarangan mahkamah sejak 7.30 pagi.

Ismail Sabri yang kelihatan tenang sempat melambaikan tangan dan bersalaman dengan beberapa penyokong sebelum memasuki bangunan mahkamah dengan diiringi kawalan keselamatan.

Beliau dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 9 pagi mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berkaitan notis pengisytiharan aset.

Prosiding berkenaan sebelum ini dijadualkan pada 7 Ogos, namun ditangguhkan selepas Ismail Sabri dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan rawatan susulan masalah degupan jantung tidak sekata.

Dalam perkembangan berkaitan, siasatan SPRM terhadap kes itu sebelum ini membawa kepada beberapa siri penggeledahan di kediaman dan premis yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’.

Hasil penggeledahan itu, SPRM menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM170 juta serta 16 kilogram jongkong emas tulen.

Sitaan berkenaan dibuat susulan siasatan berkaitan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang turut menyaksikan beberapa bekas pegawai kanan Ismail Sabri ditahan.

Sementara itu, kawalan keselamatan di sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur diperketat bagi mengawal pergerakan orang ramai dan memastikan prosiding berjalan lancar.

BBerkaitan

Latest articles