Lelaki, Wanita Ditemukan Meninggal Dunia Dalam Kereta

SEMENYIH: Seorang lelaki dan seorang wanita ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang diletakkan di luar sebuah pasar raya di Vista Valley, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Naazron Yusof berkata, kedua-dua mangsa masing-masing lelaki tempatan berusia 48 tahun dan wanita tempatan berusia 43 tahun.

Menurutnya, kedua-dua mangsa ditemukan di tempat duduk hadapan sebuah kereta Hyundai Atos berwarna hijau.

“Polis menerima laporan berhubung penemuan dua individu yang tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan sebelum pemeriksaan dijalankan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naazron berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang merupakan kenalan dilaporkan gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah setakat ini, selain tiada kesan pecah masuk pada kenderaan berkenaan atau kecederaan pada tubuh kedua-dua mangsa.

“Bedah siasat dijalankan di Hospital Kajang hari ini, namun punca kematian masih belum dapat dikenal pasti dan masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kedua-dua mangsa.

BBerkaitan

Latest articles