Jangan Terlalu Cepat Buat Kesimpulan, Teliti Fakta Isu Setiap Sudut – Zahid

​KUALA LUMPUR: Masyarakat diingatkan agar tidak terlalu cepat membuat kesimpulan mengenai isu-isu kritikal negara, khususnya yang melibatkan institusi penting umat Islam, semata-mata berpandukan persepsi atau perkara yang didengari.

​Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu besar yang menyentuh kepentingan ramai seharusnya ditangani menerusi budaya perbincangan yang matang dan berteraskan fakta.

​Menurut beliau, semangat Musyawarah Nasional menekankan kepentingan duduk semeja untuk mendengar pelbagai sudut pandang sebelum sesuatu pendirian dibentuk.

​”Apabila berhadapan dengan sesuatu isu yang besar dan menyentuh kepentingan ramai, jangan terlalu cepat membuat kesimpulan hanya berdasarkan apa yang kita dengar atau persepsi yang terbentuk.

​”Duduklah semeja, dengarkan pandangan, teliti fakta dan fahami sesuatu perkara daripada setiap sudut sebelum kita membentuk pendirian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.

​Saranan itu disuarakan beliau selepas mengikuti secara teliti perbincangan menerusi program Musyawarah Nasional 2.0 bertajuk “Realiti & Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji”.

​Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan perbezaan pendapat adalah perkara biasa, namun ia tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk masyarakat berdialog demi mencari titik kefahaman.

​Tambah beliau, pendekatan itu amat kritikal terutamanya apabila ia membabitkan institusi yang memikul amanah serta kepercayaan jutaan rakyat Malaysia.

​”Kita mungkin tidak sentiasa mempunyai pandangan yang sama, tetapi perbezaan tidak seharusnya menghalang kita daripada berbicara secara matang dan mencari titik kefahaman.

​”Apatah lagi apabila sesuatu perkara itu melibatkan sebuah institusi yang begitu dekat dengan umat Islam serta memikul amanah dan kepercayaan jutaan rakyat Malaysia,” katanya.

​Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada urus setia, barisan ahli panel serta peserta yang menjayakan wacana berkenaan dan berharap budaya perbincangan berfakta dapat terus disuburkan.

BBerkaitan

Latest articles