KUALA LUMPUR: Pendedahan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad membuktikan tiada sebarang unsur kecurian atau penyelewengan dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun 2017 seperti yang didakwa sebelum ini.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kenyataan tegas Dr Madinah selaku figura tertinggi yang bertanggungjawab meneliti serta menandatangani sijil audit TH 2017 itu sekali gus membongkar usaha membentuk persepsi jahat berhubung isu berkenaan.
Menurut beliau, Dr Madinah sendiri secara jujur mengakui tidak memahami asas penggunaan istilah ‘sakau’ yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pentas kempen Pilihan Raya lalu.
“Umum sedia maklum bahawa Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji telah pun dipanggil sebelum ini.
“Namun, Perdana Menteri tidak hadir dengan alasan pembedahan rawatan hernia perut walaupun sebenarnya tarikh pembedahan elektif itu boleh saja ditukar.
“Dengan pendedahan Tan Sri Madinah, saya mahu bertanya adakah sebenarnya PMX takut hadir ke Dewan Rakyat kerana dia tahu dia tak akan dapat membuktikan wujudnya sakau yang dia dakwa?” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wan Saiful mengulas laporan media berhubung kenyataan Madinah di Musyawarah Nasional 2.0 yang diadakan pagi tadi.
Mengulas lanjut, Naib Presiden Parti Wawasan Negara itu turut menyuarakan persetujuan penuh terhadap cadangan Dr Madinah agar Jabatan Audit Negara diletakkan di bawah naungan Parlimen, dan bukannya di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Tegas beliau, kebebasan institusi audit negara tanpa rasa takut atau berpihak (without fear or favour) merupakan tiang seri utama kepada pelaksanaan reformasi tadbir urus yang sebenar.
“Memindahkan Jabatan Audit Negara ke bawah Parlimen juga akan membolehkan dapatan audit lebih diyakini dan tidak diperguna untuk membentuk persepsi politik oleh sesiapa.
“Rakyat berhak mendapatkan kebenaran dan keadilan berasaskan fakta pengauditan yang sahih, bukannya persepsi yang dicipta untuk kepentingan politik sesetengah pihak,” katanya.










