KUALA LUMPUR: Perdebatan berterusan mengenai status perakaunan Lembaga Tabung Haji (TH) membabitkan kaedah Realisable Asset Value (RAV) berbanding Marked-to-Market mendapat perhatian bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama) tampil memperbetulkan tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa audit firma PriceWaterhouseCoopers (PwC) sengaja dilakukan untuk memburukkan imej TH.
Sebagai akauntan bertauliah daripada Institute of Chartered Accountants in England & Wales (ICAEW), Rafizi menjelaskan bahawa walaupun Standard Pelaporan Kewangan (FRS) sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa, hukum asas kewangan tetap kekal dan tidak berubah.
”Satu rukun utama ialah substance over form, yang bermaksud sesuatu transaksi mesti dilaporkan mengikut hakikat sebenar dan bukannya sekadar klasifikasi di atas kertas.
“Apabila ada pihak berhujah TH meraih untung atas kertas melebihi RM3 bilion dan bukannya rugi RM1 bilion kerana guna RAV, hakikat substance menunjukkan sebaliknya,” katanya.
Beliau menambah, apabila TH perlu membayar hibah menggunakan duit pendeposit, terutamanya pendeposit baharu, amalan itu sudah bertukar menjadi pusingan (rolling) duit pendeposit.
Hakikatnya, jelasnya, hibah tersebut bukan lagi dibayar daripada keuntungan sebenar.
Mengulas rukun kedua iaitu prudence atau kewaspadaan, Rafizi menegaskan pelaporan kewangan wajib mencerminkan nilai paling realistik sekiranya aset dicairkan di pasaran, yang kebiasaannya lebih rendah daripada anggaran sendiri.
”Kaedah RAV jelas bertentangan dengan rukun prudence kerana ia membesarkan (inflate) nilai aset TH yang hakikatnya jauh lebih rendah di pasaran.
“Buktinya sudah ada apabila aset TH yang dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) lapan tahun lalu masih gagal dipulihkan sehingga hutang UJSB terpaksa disambung (rolling) untuk tempoh 10 tahun lagi,” jelas beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak mengetepikan pandangan politik dan melihat isu berkenaan menerusi sudut profesionalisme perakaunan demi kepentingan negara.
Menurutnya, keutamaan kini sepatutnya ditumpukan kepada usaha menyelesaikan bebanan hutang rakyat yang timbul akibat proses menyelamatkan (bailout) TH.










