KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sudah membuka ruang rundingan bagi membentuk kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan datang.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perbincangan antara kedua-dua gabungan itu berjalan dalam suasana positif, namun beberapa perkara masih belum mencapai kata sepakat.
Menurutnya, antara perkara yang sedang diperhalusi termasuk kaedah kerjasama serta pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRN berkenaan.
“Rundingan ketika ini masih di peringkat menentukan kaedah dan sebagainya dan prosesnya berlangsung secara positif.
“Ia turut membabitkan rundingan agihan kerusi dengan perincian mengenainya masih dibincangkan kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Forum Musyawarah Nasional 2.0 – Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan TH, di sini, hari ini.
Perkembangan itu menyusul pengesahan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, semalam bahawa perbincangan secara tidak rasmi antara pimpinan PN dan BN sudah bermula sejak beberapa hari lalu.
Abdul Hadi sebelum ini berkata perbincangan berkenaan bertujuan mencari persefahaman politik bagi menghadapi PRN Melaka.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin mengingatkan supaya sebarang keputusan berhubung strategi dan kerjasama politik untuk PRN Melaka mengambil kira sentimen serta realiti politik setempat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, pula baru-baru ini memaklumkan jajaran politik bagi menghadapi pilihan raya negeri itu akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat MKT pada 28 Ogos ini.
Penyatuan ummah turut dibawa ke Muktamar PAS
Sementara itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata isu penyatuan ummah dan bentuk kerjasama politik antara PAS dengan UMNO akan menjadi antara perkara penting yang dibawa ke Muktamar PAS Ke-72 minggu depan.
Katanya, kedua-dua isu berkenaan termasuk dalam usul yang akan dibincangkan dalam persidangan parti berkenaan.
“Banyak usul yang dibincangkan, antaranya penyatuan ummah serta kerjasama politik PAS dan UMNO adalah usul wajib yang akan dibincangkan dalam muktamar.
“Kita juga sudah dimaklumkan ada wakil UMNO akan menghadiri Muktamar PAS Ke-72, tetapi belum tahu siapa dan perinciannya perlu ditanyakan kepada Ahmad Zahid,” katanya.










