Bekas KAN: Dapatan JAN, PwC Soal TH Tak Boleh Dibanding Secara Langsung

KUALA LUMPUR: Perbezaan ketara antara dapatan Jabatan Audit Negara (JAN) dan semakan kedudukan kewangan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) tidak boleh dianggap sebagai bukti kegagalan audit terdahulu.

Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, berkata kedua-dua penugasan itu mempunyai mandat, objektif, skop dan metodologi berbeza, menyebabkan hasilnya tidak wajar dibandingkan secara langsung.

Menurut beliau, JAN menjalankan audit statutori berdasarkan Akta Audit 1957 dan Akta Tabung Haji 1995 untuk menentukan sama ada penyata kewangan TH memberikan gambaran benar dan saksama mengikut piawaian pelaporan kewangan yang berkuat kuasa ketika itu.

Sebaliknya, PwC menjalankan Financial Position Review berdasarkan terma rujukan berbeza dengan pendekatan yang lebih luas dalam menilai kedudukan kewangan TH.

“Perbezaan dapatan tidak semestinya menunjukkan salah satu pihak telah melakukan kesilapan kerana kita sebenarnya membandingkan dua perkara yang berbeza,” katanya ketika berucap dalam sebuah forum Musyawarah Nasional.

Madinah berkata antara perkara yang sering menjadi persoalan ialah penyata kewangan TH yang diaudit JAN merekodkan keuntungan bersih sekitar RM3.4 bilion, sedangkan semakan PwC menunjukkan kedudukan defisit atau kerugian sekitar RM1.4 bilion.

Katanya, perbezaan itu antara lain berpunca daripada kaedah pengiktirafan rosot nilai aset dan penilaian pelaburan yang berbeza, terutama membabitkan subsidiari, syarikat bersekutu dan aset pelaburan.

Beliau turut menjelaskan isu penggunaan FRSIC Consensus 14, yang menjadi antara asas pelarasan dalam semakan terhadap penyata kewangan TH.

Menurut Madinah, berdasarkan penjelasan Malaysian Institute of Accountants (MIA), FRSIC Consensus 14 bukanlah Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) yang mempunyai kedudukan mandatori seperti piawaian pelaporan kewangan diluluskan Malaysian Accounting Standards Board (MASB).

Sebaliknya, ia merupakan panduan konsensus bagi membantu aplikasi piawaian perakaunan dalam keadaan tertentu.

“Berdasarkan dokumen yang ada, isu tersebut merupakan perbezaan tafsiran perakaunan atau accounting treatment, bukannya isu ketidakpatuhan yang nyata terhadap piawaian audit,” katanya.

Madinah turut menegaskan bahawa sesuatu pendapat audit perlu dinilai berdasarkan bukti, piawaian perakaunan dan piawaian audit yang berkuat kuasa ketika audit dilaksanakan.

Katanya, penilaian tidak seharusnya dibuat berdasarkan maklumat atau perkembangan yang hanya diketahui selepas proses audit selesai.

Beliau menjelaskan, audit statutori JAN ketika itu dilaksanakan dengan merujuk kepada piawaian berkaitan termasuk International Standards on Auditing (ISA), International Standards of Supreme Audit Institutions (ISSAI) serta MFRS yang berkuat kuasa.

Proses audit itu, katanya, melibatkan penelitian terhadap penyata kewangan, rekod perakaunan, dokumen sokongan, minit mesyuarat, pengesahan pihak ketiga, laporan penilaian serta penjelasan pengurusan sebelum keputusan akhir dibuat.

Madinah berkata JAN pada ketika itu juga tidak gagal mengesan isu rosot nilai aset, malah pasukan audit di peringkat teknikal pada asalnya mencadangkan supaya TH diberikan sijil berteguran.

Bagaimanapun, keputusan akhir untuk mengeluarkan pendapat tanpa teguran dengan Emphasis of Matter (EOM) dibuat berdasarkan pertimbangan profesional Ketua Audit Negara selepas keseluruhan bukti dan keadaan dinilai.

“Persepsi bahawa audit terdahulu gagal mengesan masalah Tabung Haji tidak seharusnya dibuat hanya berdasarkan perbezaan antara laporan Jabatan Audit Negara dan PwC atau berdasarkan maklumat yang diperoleh selepas audit selesai,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles