KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad meluahkan rasa terkilan selepas tidak dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), sedangkan beliau merupakan individu yang menandatangani sijil audit yang menjadi antara perkara dipersoalkan.
Lebih mengecewakan, beliau mendakwa pernah hadir ke lokasi prosiding RCI dan menunggu kira-kira 30 minit hingga sejam sebelum dimaklumkan urus setia bahawa beliau tidak perlu memberi keterangan.
“Saya dah pergi duduk di depan pintu bilik RCI. Lebih daripada 30 minit, mungkin 45 minit atau satu jam saya duduk.
“Lepas itu urus setia keluar dan cakap, ‘Tan Sri, tak perlu masuk, Tan Sri boleh balik.’
“Sampai hari ini tak ada jawapan kenapa saya tidak dipanggil. Saya yang menandatangani sijil audit tersebut,” katanya ketika berucap dalam sebuah forum Musyawarah Nasional.
Menurutnya, peluang memberi keterangan amat penting bagi membolehkan beliau menjelaskan sendiri asas pertimbangan yang membawa kepada keputusan mengeluarkan pendapat audit tanpa teguran dengan Emphasis of Matter (EOM) terhadap penyata kewangan TH bagi 2017.
Beliau turut mempertahankan keputusan tersebut susulan dapatan RCI yang menurutnya menggambarkan Ketua Audit Negara ketika itu sebagai tidak tegas.
Katanya, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira bukti audit, piawaian profesional serta implikasi lebih luas terhadap kepentingan pendeposit dan negara.
“Kalau saya memberi penerangan, sekurang-kurangnya anda dengar pihak saya dan mungkin anda tidak akan mengatakan saya tidak tegas.
“Itu jelas saya terkilan, tetapi saya masih menghormati RCI,” katanya.
Beliau menjelaskan, pasukan Jabatan Audit Negara (JAN) pada peringkat teknikal sebelum itu telah mengenal pasti isu rosot nilai aset dan mencadangkan supaya TH diberikan sijil berteguran.
Bagaimanapun, sebagai Ketua Audit Negara ketika itu, beliau memutuskan supaya pendapat tanpa teguran dengan EOM dikeluarkan selepas mengambil kira keseluruhan keadaan.
Antara pertimbangan utama, katanya, ialah risiko terhadap keyakinan pendeposit serta kemungkinan berlaku pengeluaran deposit secara besar-besaran sekiranya TH menerima sijil berteguran.
Beliau turut menegaskan penggunaan EOM bukan bermaksud isu berkenaan disembunyikan, sebaliknya perkara penting masih diketengahkan kepada pengguna penyata kewangan menerusi mekanisme yang ditetapkan dalam piawaian audit.
Pada masa sama, beliau menegaskan mandat Ketua Audit Negara bukan sekadar meneliti angka dalam penyata kewangan, tetapi turut merangkumi aspek akauntabiliti awam, penggunaan dana rakyat, pematuhan undang-undang serta kepentingan negara.
Menurutnya, keputusan audit itu dibuat secara profesional dan berada dalam bidang kuasanya sebagai pihak berkuasa muktamad dalam menentukan bentuk serta kandungan laporan pengauditan.
“Akhir sekali, saya menghormati penubuhan RCI dan saya menghormati laporan yang telah dikeluarkan, tetapi saya terkilan,” katanya.
Beliau berharap penjelasan itu dapat membantu masyarakat menilai semula isu berkenaan dengan mengambil kira perspektif pihak yang membuat keputusan audit pada ketika itu.
“Tiada berselindung, tiada fakta diputarbelitkan. Ketika itu pendapatnya memang ada keuntungan pada 2017,” katanya.










