Dakwaan Isu Anak Benih Sawit: SPRM Mula Teliti Maklumat Felda Palong 7

SEREMBAN: Maklumat berhubung pelaksanaan projek pembangunan dan penanaman semula sawit di Felda Palong 7, Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan kini dalam penelitian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penelitian itu dibuat susulan maklumat yang dikemukakan Pengerusi Pertubuhan Badan Bertindak Generasi Palong (Perbagi), Mohd Syahrizal Md Yusuf, yang mempersoalkan kualiti anak benih sawit digunakan dalam projek berkenaan.

Menurut SPRM, perkara yang dibangkitkan turut merangkumi aspek pembekalan dan penghantaran anak benih, kaedah penyimpanan, usia anak benih serta sejauh mana bekalan tersebut memenuhi spesifikasi ditetapkan.

Projek berkenaan dilaporkan melibatkan kira-kira 450 peneroka di Felda Palong 7.

“SPRM mengambil maklum dakwaan dan kebimbangan yang dikemukakan dan akan meneliti maklumat itu bagi menentukan sama ada wujud elemen yang berkaitan dengan kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM,” menurut kenyataan SPRM.

Selain itu, SPRM turut mengambil perhatian terhadap permintaan supaya pemeriksaan teknikal dijalankan bagi menilai mutu serta pematuhan anak benih sawit terhadap spesifikasi yang ditetapkan.

Pemeriksaan tersebut bagaimanapun membabitkan agensi teknikal berkaitan, manakala keputusan mengenai tindakan susulan akan dibuat selepas SPRM selesai menilai maklumat yang diterima.

Dalam pada itu, SPRM mengingatkan bahawa penerimaan maklumat atau aduan tidak boleh ditafsirkan sebagai pengesahan bahawa berlaku sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak.

Agensi itu turut menegaskan penelitian yang sedang dijalankan tidak seharusnya dianggap sebagai kesimpulan bahawa individu atau pihak tertentu telah melakukan kesalahan.

Sebelum ini, sekumpulan generasi baharu peneroka Felda Palong 7 yang diketuai Syahrizal hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya untuk menyerahkan aduan serta maklumat berkaitan projek berkenaan.

Syahrizal mendakwa projek pembangunan dan penanaman semula sawit itu mempunyai anggaran nilai antara RM70 juta hingga RM80 juta.

Beliau turut meminta SPRM memberi perhatian kepada persoalan berkaitan pembekalan anak benih, kos bekalan dan pengangkutan, selain pelaksanaan kerja penanaman semula di Felda Palong 7.

BBerkaitan

Latest articles