IS Pantau Pergerakan Ayob Khan, KPN Ketika Itu

KUALA LUMPUR: Sentiasa berjaga-jaga bukan sekadar rutin kerja bagi Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, malah menjadi sebahagian daripada kehidupan hariannya ketika mengetuai Bahagian Antikeganasan Bukit Aman.

Malah, bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu mendedahkan beliau pernah menyedari dirinya diperhatikan ketika keluar berjoging di Taman Tasik Perdana.

Menurut Ayob Khan, penyelaras utama kumpulan militan Islamic State (IS) di Malaysia ketika itu menggunakan media sosial untuk merekrut rakyat tempatan bagi menjalankan tugas mengintip serta memantau pergerakan anggota keselamatan.

“Mereka memantau pergerakan beberapa pegawai, termasuk Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu.

“Mereka tahu saya berjoging di Taman Tasik Perdana dan KPN ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar, menyertai konvoi motosikal pada setiap Sabtu,” katanya dalam wawancara bersama FMT selepas bersara baru-baru ini.

Beliau berkata, maklumat mengenai aktiviti pemantauan itu diperoleh menerusi risikan balas yang turut menempatkan anggota keselamatan dalam rangkaian kumpulan berkenaan.

Ayob Khan sebelum ini mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara ketika menerajui Bahagian Antikeganasan Bukit Aman dari 2016 hingga 2020.

Dalam tempoh itu, beliau terbabit dalam operasi menumpaskan sel militan serta menggagalkan beberapa rancangan serangan pengganas.

Pengalaman berdepan ancaman keganasan memaksa Ayob Khan mengamalkan tahap keselamatan yang lebih tinggi, termasuk menggunakan kenderaan kalis peluru, menukar laluan perjalanan dan sentiasa peka terhadap persekitaran.

Ketika berada di restoran pula, beliau memilih tempat duduk yang membolehkannya menghadap ke luar bagi memerhatikan pergerakan orang di sekeliling.

Katanya, amalan sebegitu bukan sesuatu yang baharu dalam pasukan keselamatan, sebaliknya berakar daripada teknik dan pengalaman yang dibangunkan ketika memerangi Parti Komunis Malaya sejak 1950-an hingga 1980-an.

Bagi Ayob Khan, ancaman keselamatan yang semakin kompleks memerlukan pasukan penguat kuasa mempunyai ruang perundangan yang bersesuaian untuk bertindak pantas.

Beliau berpandangan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih penting dalam menangani ancaman keselamatan serius, khususnya keganasan dan jenayah terancang.

Walaupun SOSMA sebelum ini menerima kritikan dan gesaan supaya dimansuhkan, Ayob Khan berkata, keperluan terhadap undang-undang berkenaan perlu dilihat dari sudut keupayaan negara menangani operasi keselamatan berskala besar.

Namun, beliau menegaskan pendiriannya itu tidak bermaksud mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dikembalikan.

ISA dimansuhkan pada 2012 dan digantikan dengan SOSMA, yang membolehkan seseorang ditahan sehingga 28 hari bagi tujuan siasatan sebelum didakwa atau dibebaskan.

Menurut Ayob Khan, prosedur reman biasa di bawah undang-undang jenayah tidak semestinya memadai apabila polis berdepan operasi keganasan yang melibatkan puluhan suspek dalam satu-satu masa.

“Ketika saya dalam Bahagian Antikeganasan, bukan seorang saja yang saya tangkap. Dalam tempoh 24 jam, saya pernah menangkap 40 suspek,” katanya.

Beliau menjelaskan tempoh reman yang singkat menyukarkan penyiasat meneliti kesemua barang rampasan, menganalisis telefon bimbit dan komputer riba serta melengkapkan siasatan terhadap ramai suspek.

Dalam masa sama, Ayob Khan mengingatkan bahawa aspek keselamatan tidak boleh dilihat sebagai isu bermusim atau hanya diberi perhatian selepas berlaku tragedi.

Katanya, undang-undang keselamatan yang tegas juga penting bagi mengelakkan ketegangan antara kaum daripada merebak menjadi konflik lebih besar dalam masyarakat majmuk.

Beliau mengambil contoh insiden pergaduhan kaum yang pernah berlaku di Kampung Medan dan Kampung Rawa sebagai peringatan bahawa ketegangan sosial boleh berkembang menjadi ancaman lebih serius jika gagal ditangani sejak awal.

“Struktur masyarakat kita berbeza. Kita tidak boleh begitu sahaja menggunakan model yang diamalkan negara Barat,” katanya.

Ayob Khan turut menyeru ahli politik supaya meletakkan kepentingan keselamatan negara mengatasi percaturan politik jangka pendek.

Baginya, keselamatan negara memerlukan pandangan jauh dan keberanian membuat keputusan yang mungkin tidak popular, tetapi penting untuk kestabilan masyarakat dalam jangka panjang.

BBerkaitan

Latest articles