Ketibaan Pelawat Antarabangsa Cecah 21.1 Juta, Konflik Asia Barat Jejas Pertumbuhan Pelancongan

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan 21.12 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, meningkat 2.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, meskipun sektor penerbangan dan pelancongan berdepan kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata jumlah itu menunjukkan pertambahan 514,958 ketibaan berbanding 20.60 juta yang direkodkan pada separuh pertama 2025.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar pertumbuhan itu merupakan yang terendah sejak industri pelancongan negara mula menunjukkan pemulihan selepas pandemik COVID-19.

Menurutnya, sebanyak 26 daripada 50 pasaran sumber utama Malaysia mencatatkan kemerosotan ketibaan dalam tempoh berkenaan.

“Keadaan ini terutama dipengaruhi ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada operasi penerbangan antarabangsa dan secara tidak langsung menjejaskan corak perjalanan global,” katanya pada sidang media Laporan Prestasi Separuh Pertama 2026, hari ini.

Tiong berkata pasaran Eropah dan Asia Barat antara yang paling terkesan, dengan Perancis menjadi satu-satunya daripada tiga pasaran utama Eropah yang masih mencatat pertumbuhan.

Sebaliknya, ketibaan pelawat dari Britain dan Jerman menurun, malah Jerman merekodkan pertumbuhan negatif buat pertama kali sejak sektor pelancongan mula pulih selepas pandemik.

Dalam perkembangan sama, pasaran dari Turkiye, Russia, Sepanyol dan Poland menunjukkan peningkatan, manakala Belanda, Itali, Belgium, Arab Saudi, Oman dan Mesir turut mengalami kesan pada tahap berbeza.

Beliau berkata konflik Asia Barat turut menyebabkan harga bahan api antarabangsa meningkat, sekali gus meningkatkan kos perjalanan udara dan memberi tekanan kepada permintaan perjalanan dari beberapa pasaran lain.

Antara yang terjejas termasuk India, selain Taiwan dan Korea Selatan.

Namun, pertumbuhan berterusan dari Singapura, Filipina, China, Asia Tengah, Oceania serta Amerika Utara membantu Malaysia mengekalkan prestasi positif secara keseluruhan.

Dari sudut penerbangan, Malaysia menerima 88,058 penerbangan antarabangsa dalam tempoh enam bulan pertama 2026, berbanding 91,486 penerbangan yang pada asalnya dijadualkan.

Tiong berkata sebanyak 4,111 penerbangan terpaksa dibatalkan susulan ketegangan geopolitik, namun 683 penerbangan baharu diperkenalkan bagi mengurangkan kesan tersebut.

Justeru, jumlah penerbangan sebenar hanya 3,428 atau 3.7 peratus lebih rendah daripada jadual asal.

“Kesan konflik di Asia Barat jelas dapat dilihat dalam operasi penerbangan. Sejak konflik bermula pada Februari, jumlah pembatalan meningkat dari bulan ke bulan,” katanya.

Beliau berkata hanya sembilan penerbangan dibatalkan pada Februari sebelum jumlah itu melonjak kepada lebih 300 pada Mac, hampir 1,000 pada April dan mencapai 1,419 pada Jun.

Kesan gangguan itu turut menyebabkan kapasiti tempat duduk sebenar susut kepada kira-kira 17.63 juta, berbanding unjuran awal 18.34 juta.

Walaupun lebih rendah daripada sasaran, jumlah berkenaan masih menunjukkan peningkatan sekitar enam peratus atau lebih satu juta tempat duduk berbanding 16.627 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

23 laluan baharu diperkenal

Pada masa sama, jaringan udara antarabangsa Malaysia terus berkembang dengan pengenalan 23 laluan baharu, termasuk 12 perkhidmatan penerbangan baharu dan sembilan perkhidmatan penerbangan sewa khas antara Januari hingga Julai.

Asia Timur Laut mencatat peningkatan kapasiti terbesar, dengan tambahan lebih 500,000 tempat duduk atau 11.9 peratus, diikuti pasaran ASEAN yang meningkat sebanyak 376,423 tempat duduk atau 4.5 peratus.

Sebaliknya, Asia Barat mencatat kemerosotan paling ketara apabila kapasiti tempat duduk turun daripada lebih satu juta pada separuh pertama tahun lalu kepada 806,532 dalam tempoh sama tahun ini.

Penurunan itu turut memberi kesan kepada penerbangan Eropah yang menggunakan Asia Barat sebagai hab transit, dengan kapasiti tempat duduk merosot lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Tiong, gangguan penerbangan berkenaan menjadi antara faktor yang menyebabkan pertumbuhan ketibaan pelawat antarabangsa ke Malaysia bergerak lebih perlahan.

Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mempergiat usaha promosi di pasaran Asia, khususnya Asia Tenggara dan Asia Timur Laut, bagi menyesuaikan strategi pelancongan negara dengan perubahan landskap global.

Dalam usaha mengekalkan momentum sektor berkenaan, Tahun Melawat Malaysia turut dilanjutkan sehingga 2027.

BBerkaitan

Latest articles