Anwar Mahu Kelulusan Filem Lebih Terbuka, Elak Penggiat Seni Terkongkong

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu pendekatan terhadap industri perfileman negara menjadi lebih terbuka dan lunak, termasuk dalam proses kelulusan karya, bagi memastikan kreativiti penggiat seni tempatan tidak dibelenggu sekatan berlebihan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri filem memerlukan ruang yang lebih luas untuk berkembang sebagai sektor kreatif yang kompetitif dan mampu menarik khalayak ramai.

“Industri filem ini, sepertimana juga pemerkasaan budaya, menuntut suatu sikap yang lebih terbuka.

“Mana mungkin kreatif kalau terlalu banyak kekangan dan sekatan syarat-syaratnya.

“Bayangkan filem mahu dikembangkan sebagai suatu industri yang lebih kompetitif dan menarik khalayak, tetapi terlalu banyak sekatan dan kongkong, tidak mungkin berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara Finas Damansara di sini hari ini.

Anwar menegaskan beliau telah meminta kementerian serta pihak berkaitan untuk memastikan ruang yang diberikan kepada industri seni adalah lebih terbuka agar penggiat seni tidak lagi dihimpit rasa tertekan.

“Kita akan tentukan supaya ruang diberikan lebih terbuka, agar penggiat seni tidak rasa terlalu tertekan dan terkongkong, sampai kena tanya lima kali sama ada adegan atau babak ini boleh diluluskan atau tidak,” katanya.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri menjelaskan keterbukaan yang dianjurkan bukanlah bermakna negara perlu mengikut acuan Barat secara melulu, sebaliknya perlu kekal berteraskan nilai, akhlak dan budaya tempatan.

“Kalau mahu negara ini maju, kita harus terima kenyataan bahawa anak-anak muda dan khalayak menginginkan suatu suasana yang lebih bebas dan terbuka.

“Tidak bermakna kita harus ikut acuan Barat, bagaimanapun acuan Timur itu pula tidak semestinya aliran neokonservatif.

“Aliran Timur itu harus kekal dengan budaya, dengan nilai, dengan akhlak, tetapi harus lebih terbuka,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berpendirian bahawa karya filem, seni dan sastera tidak seharusnya dijadikan alat propaganda, sebaliknya industri kreatif perlu diberikan ruang secukupnya untuk berkembang secara kritis.

Beliau turut menyeru penggiat seni tempatan agar bersedia mendepani arus pemodenan dan perkembangan teknologi baharu seperti animasi serta kecerdasan buatan (AI), tanpa meminggirkan akar bahasa, jati diri dan identiti nasional.

BBerkaitan

Latest articles