Mahkamah Tolak Permohonan Lucut Wang RM21.1 juta, Jongkong Emas Aman Palestin

​SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang berjumlah RM21.1 juta dan AS$139,650.68 yang dibekukan, serta sebuah jongkong emas seberat satu kilogram milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin Berhad.

​Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal memenuhi beban pembuktian berdasarkan imbangan kebarangkalian bagi kesemua permohonan berkenaan.

​Latifah, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, dalam penghakimannya berkata Aman Palestin merupakan sebuah syarikat tidak berteraskan keuntungan yang ditubuhkan untuk menyelaras bantuan amal kepada rakyat Palestin yang kurang bernasib baik.

​Beliau menjelaskan bahawa dana pertubuhan itu diperoleh secara sukarela melalui derma orang awam dengan jumlah kutipan mencecah RM123.9 juta dari 2018 hingga 2023, sekali gus menjadikan wang berkenaan milik penuh syarikat tanpa sebarang syarat atau sekatan.

​”Sekiranya benar terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh pengarah syarikat ketika wang itu dikeluarkan untuk pelaburan, liabiliti tanggungan adalah terhadap individu berkenaan dan bukannya melibat responden (Aman Palestin),” tegasnya.

​Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dalam 12 akaun bank yang dibekukan serta pembelian jongkong emas itu merupakan hasil perlakuan salah di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

​Susulan keputusan itu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memohon penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah bagi menghentikan pemulangan harta dan wang berkenaan sementara menunggu proses rayuan.

​Mahkamah menetapkan 4 Sept depan untuk pengurusan kes bagi permohonan penangguhan tersebut.

​Dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Pegawai Pendakwa Fatin Farhana Ismail, manakala Aman Palestin diwakili barisan peguam yang diketuai Datuk Hisyam Teh Pok Teik, Datuk Zamani Ibrahim dan Datuk M Athimulan.

​Pada 15 Feb 2024, Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Abdullah Zaik Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Awang Suffian Awang Piut dan pengarah syarikat pelaburan Khairudin Mohd Ali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 164 pertuduhan pecah amanah, menipu dan pengubahan wang haram membabitkan RM39.5 juta.

BBerkaitan

Latest articles