Johor Catat Pertumbuhan Ekonomi 8 Peratus, Tertinggi Di Malaysia Bagi 2025

​JOHOR BAHRU: Ekonomi negeri Johor terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan kadar pertumbuhan sebanyak 8.0 peratus bagi tahun 2025, sekali gus menjadi yang tertinggi di Malaysia.

​Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian luar biasa itu menyaksikan nilai Keluaran Dalam Negeri KDNK (KDNK) negeri berkenaan mencecah RM170.9 bilion.

​Menurut beliau, Johor turut berjaya menarik pelaburan yang diluluskan berjumlah RM110 bilion sepanjang tahun lalu.

​”Bagi kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sahaja, sebanyak RM77 bilion pelaburan diluluskan melibatkan hampir 400 projek.

​”Inisiatif ini dianggarkan mampu mewujudkan lebih 24,500 peluang pekerjaan baharu bagi rakyat negeri ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau pada Isnin.

​Onn Hafiz memaklumkan perkara berkenaan selepas menghadiri sesi perbincangan meja bulat bersama Maybank Singapore dan Singapore Manufacturing Federation (SMF) yang menghimpunkan wakil daripada 39 syarikat dan organisasi pelbagai sektor.

​Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri terus komited memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat langsung kepada rakyat menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dan penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC).

​”JTDC bertindak menyelaraskan pembangunan bakat tempatan mengikut keperluan sebenar industri melalui kerjasama strategik antara syarikat, universiti serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Johor,” jelas beliau.

​Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Maybank yang memudah cara hampir RM20 bilion pembiayaan dan pelaburan berkaitan JS-SEZ, serta SMF yang aktif membawa pelabur Singapura meneroka peluang di Johor.

​Beliau berharap kerjasama strategik antara Johor dan Singapura dapat terus diperkukuh bagi memacu pembangunan negeri secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat Johor pada masa hadapan.

BBerkaitan

Latest articles