KOTA BHARU: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh, mengesahkan beliau akan menghadiri Muktamar Pemuda PAS yang dijadual berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 3 September ini.
Menurut Akmal, kehadiran itu dibuat susulan jemputan rasmi daripada Pemuda PAS kepada kepemimpinan Pemuda UMNO.
Beliau berkata, jemputan berkenaan dilihat sebagai peluang untuk kedua-dua sayap parti bertemu, selain mengeratkan hubungan dan bertukar pandangan menerusi program rasmi.
“Pertamanya memang ada jemputan daripada Pemuda PAS untuk menghadiri muktamar berkenaan dan insya-Allah, saya sudah menyatakan komitmen untuk hadir,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Perkembangan itu menarik perhatian ketika hubungan antara parti politik Melayu, khususnya di peringkat sayap pemuda, terus menjadi antara perkara yang diberi tumpuan menjelang pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, Akmal berkata Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang dijadual berlangsung pada 10 September pula akan memberi fokus kepada persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Katanya, antara perkara yang akan diketengahkan ialah cadangan serta pandangan perwakilan untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada kandungan manifesto parti.
Beliau berkata pandangan yang dikemukakan perwakilan akan dibawa ke peringkat tertinggi UMNO untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita akan dengar pandangan serta cadangan daripada perwakilan dan seterusnya dibawa berbincang ke peringkat tertinggi parti untuk diputuskan.
“Saya yakin, perwakilan Pemuda banyak idea yang boleh diketengahkan dan sudah pasti kita akan pertimbangkan,” katanya.










