GEORGE TOWN: Tempoh reman terhadap dua individu bergelar Datuk yang disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik sebuah agensi kerajaan di Pulau Pinang dilanjutkan tiga hari lagi.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Nurhanisah S H Sahul Hamid selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mahkamah hari ini.
Kedua-dua individu berkenaan ialah seorang pengerusi agensi kerajaan berusia lingkungan 50-an dan pengarah sebuah syarikat pemaju berusia 40-an.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, susulan dakwaan urusan penjualan tanah dilakukan pada harga lebih rendah daripada nilai pasaran sehingga menyebabkan kerugian.
Peguam yang mewakili kedua-dua suspek, Dr Shamsher Singh Thind, berkata SPRM pada asalnya memohon lanjutan reman selama empat hari, namun mahkamah membenarkan tempoh tiga hari sehingga Rabu.
Menurutnya, pihak SPRM memaklumkan lanjutan itu diperlukan bagi membolehkan siasatan diteruskan, termasuk bagi memastikan tiada gangguan terhadap saksi yang berpotensi membantu siasatan.
“SPRM memohon tempoh reman disambung selama empat hari lagi tetapi mahkamah membenarkan tiga hari iaitu sehingga Rabu.
“Berikutan itu, anak guam saya boleh dibebaskan pada Rabu selepas tamat tempoh reman berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar kamar mahkamah hari ini.
Sementara itu, tiga lagi individu yang sebelum ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes sama difahamkan telah dibebaskan dengan jaminan.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan menahan lima individu terdiri daripada seorang pengerusi, dua pengarah syarikat, seorang pengurus teknikal dan seorang kerani wanita bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan di bawah sebuah kementerian di Pulau Pinang.
Pengerusi agensi berkenaan dipercayai melakukan kesalahan ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah dengan meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan (SPS) pada 2015.
Tanah terbabit didakwa dijual kepada sebuah syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sekutunya.
Siasatan turut menjurus kepada dakwaan tanah berkenaan diluluskan untuk dijual pada harga di bawah nilai pasaran, dengan jumlah kerugian yang dianggarkan sekitar RM1.96 juta.










