PN Tiada Kuasa Keluar Surat Tunjuk Sebab Kepada Bersatu

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) didakwa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Bersatu berhubung aduan mengenai kedudukan kuorum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Bekas Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad berkata, persoalan mengenai kesahan sesebuah pertubuhan sepatutnya dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), bukannya Bersatu.

Beliau berkata, JPPM merupakan pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada sesebuah pertubuhan berdaftar itu sah dari sudut undang-undang.

“Setiausaha Agung PN sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada JPPM, bukan daripada Bersatu, kerana hanya JPPM mempunyai kuasa menentukan sama ada sesebuah pertubuhan itu sah di sisi undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Marzuki berkata, sehingga kini Bersatu juga tidak menerima sebarang notis daripada JPPM berhubung isu kuorum MPT.

Atas alasan itu, katanya, pada ketika mesyuarat Majlis Tertinggi PN berlangsung pada 16 Julai lalu, Bersatu masih merupakan pertubuhan yang sah dan anggota PN yang sah.

Kenyataan itu dibuat susulan penjelasan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, yang sebelum ini memaklumkan bahawa surat tunjuk sebab telah dihantar kepada Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali.

Menurut Takiyuddin, surat itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung aduan empat Ahli Parlimen Bersatu kepada JPPM yang mendakwa parti berkenaan tidak lagi mempunyai kuorum mencukupi untuk mengadakan mesyuarat MPT.

Aduan berkenaan dikatakan dibuat pada 13 Julai, manakala surat tunjuk sebab kepada Azmin dikeluarkan sehari kemudian.

Takiyuddin turut memaklumkan bahawa Bersatu masih belum memberikan jawapan terhadap surat berkenaan.

Isu kuorum MPT Bersatu tercetus selepas Naib Presiden parti yang digantung keahliannya, Ronald Kiandee, pada 11 Julai mempersoalkan kesahan mesyuarat MPT susulan dakwaan kira-kira 27 daripada 47 ahli asal telah keluar parti, meletakkan jawatan, dipecat atau digantung.

Persoalan itu timbul selepas Muhyiddin menegaskan Bersatu masih kukuh dan utuh walaupun beberapa anggota MPT dilaporkan meninggalkan jawatan.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin, kemudian menjelaskan bahawa perubahan komposisi MPT tidak menjejaskan kesahan mesyuarat kerana jumlah kehadiran masih memenuhi syarat kuorum.

Menurut beliau, berdasarkan perlembagaan parti, sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah ahli MPT perlu hadir bagi membolehkan mesyuarat dijalankan secara rasmi dan sah.

Dengan jumlah 23 ahli MPT ketika itu, sekurang-kurangnya 12 ahli diperlukan untuk memenuhi syarat berkenaan.

Marzuki pula berkata, MPT Bersatu telah menggunakan kuasa di bawah Fasal 27 perlembagaan parti untuk mentafsirkan persoalan berhubung kuorum.

“Tafsiran MPT Bersatu adalah muktamad,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Marzuki turut mengulas pertikaian mengenai kegagalan Bersatu dipanggil ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu yang membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

JPPM pada 11 Ogos lalu mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berkaitan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam mesyuarat berkenaan, selain persoalan mengenai kedudukan keahliannya dalam PN.

Takiyuddin sebelum ini mendedahkan beliau telah memberikan keterangan kepada JPPM susulan aduan Bersatu tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa Bersatu tidak dipanggil ke mesyuarat berkenaan antaranya kerana kritikan parti itu terhadap PAS serta keputusan Bersatu untuk bertanding menggunakan lambang sendiri.

Bagaimanapun, Marzuki menyifatkan tindakan tidak menjemput Bersatu sebagai satu pelanggaran serius terhadap perlembagaan PN.

Menurutnya, status Bersatu sebagai anggota PN pada 16 Julai lalu tidak terbatal hanya kerana terdapat aduan berkaitan kesahan kepimpinan parti kepada JPPM.

“Bersatu adalah sebuah pertubuhan yang sah dan anggota PN yang sah pada masa mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 sehingga kini,” katanya.

Beliau turut merujuk kenyataan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, pada 9 Ogos lalu yang mengesahkan Bersatu masih merupakan anggota gabungan itu.

“Justeru, Bersatu berhak dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 dan kegagalan menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat tersebut adalah suatu pelanggaran perlembagaan PN yang serius,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles